Anak jadi pendorong pasangan warga emas dapatkan vaksin Covid-19

Warga emas mendapatkan dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Pelabuhan Klang hari ini. -Foto Bernama
Warga emas mendapatkan dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Pelabuhan Klang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Selepas melihat anak mereka yang merupakan salah seorang petugas barisan hadapan sudah selamat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, sepasang warga emas turut terdorong untuk turut mendapatkan vaksin berkenaan.

Anak kepada pasangan warga emas itu yang mahu dikenali sebagai Dr Rajakumar berkata beliau tidak perlu memaksa kedua-dua orang tuanya untuk mendapatkan suntikan vaksin itu kerana mereka sendiri melihat tiada kesan sampingan yang terjadi ke atasnya setelah mendapat dua dos vaksin itu.

“Ibu bapa saya juga selalu menonton televisyen dan mengikuti berita-berita semasa mengenai kelebihan vaksin yang dapat mengurangkan penularan wabak Covid-19,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Sementara itu bagi seorang warga emas Yim Chi Hong, 81, ketakutan beliau terhadap kesan virus Covid-19 telah mendorong beliau sendiri untuk mendapatkan suntikan vaksin itu.

“Sekarang saya sudah mempunyai pengalaman menerima suntikan vaksin walaupun pada asalnya perasaan takut itu ada, jadi sekarang saya boleh menasihati kawan-kawan saya untuk mendapatkan suntikan mereka,” katanya selepas menerima suntikan itu di Dewan Sukan Pandamaran dekat sini.

Fatimah Salim, 82, pula berkata, disebabkan beliau sentiasa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan, beliau tidak berasa takut untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Bagi Fatimah, orang di luar sana tidak perlu takut untuk mendapatkan suntikan vaksin hanya disebabkan oleh khabar angin yang disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab mengenai vaksin berkenaan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Dua dilaksanakan bermula Isnin di Selangor melibatkan 10 pusat pemberian vaksin di sekitar negeri ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: