Rowley tabik mentaliti Harimau Kumbang

Rowley bersama pemain Penang meraikan jaringan Jafri Firdaus ketika menentang Sri Pahang. - Foto Penang FC
Rowley bersama pemain Penang meraikan jaringan Jafri Firdaus ketika menentang Sri Pahang. - Foto Penang FC
A
A
A

PEMAIN tengah Penang FC, David Rowley mengakui kagum mentaliti pemain Harimau Kumbang pada penampilan sulung saingan Liga Super musim ini.

Malah menurut Rowley, anak buah Tomas Trucha yang menyasarkan tiga mata dalam setiap perlawanan liga tidak gentar untuk bersaing dengan kelab gergasi Liga Malaysia (Liga-M).

“Fokus kami adalah untuk sentiasa berada lebih baik dari tiap perlawanan yang dilalui dan untuk memperkatakan kami boleh mencabar kejuaraan, saya rasa kami masih terlalu jauh hendak dibandingkan terutama dengan JDT.

“Pengurusan meletakkan sasaran kami untuk berada dalam kalangan enam terbaik, jadi itu akan sentiasa menjadi matlamat utama kelab, namun sukar untuk saya ramal apa yang akan berlaku sepanjang musim ini.

“Jika kami mampu mencipta beberapa kejutan sepanjang musim ini, mungkin ada ruang buat kami untuk berada di kedudukan lebih baik yang mampu mengejutkan semua pihak,” katanya.

Dalam perlawanan terakhir, Penang mudah membenam cabaran Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Bandaraya pada Sabtu menerusi jaringan Endrick dos Santos, Danial Ashraf Abdullah dan Jafri Firdaus Chew.

Antara kejutan yang dilakar Penang musim ini ialah menundukkan Selangor FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan mengatasi Melaka United FC 2-1 di Stadium Hang Jebat.

Lawan seterusnya skuad Trucha adalah bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menentang Terengganu FC yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Rowley mengakui dia gembira skuad Haria Penang Haria tersebut membuka semula ruang dalam kariernya selepas prestasi yang serba tidak menjadi di Kedah pada musim lalu.

Biarpun dilanda sedikit keretakan di bahagian tulang tangan kanannya semasa aksi bertemu UiTM FC, pemain berusia 31 tahun yang berasal dari Australia itu lega kerana tidak perlu menjalani sebarang pembedahan.

“Di Kedah, saya tetap gembira selain telah memenangi satu trofi semasa di sana cuma kehadiran di Penang, segala-galanya tampak sempurna malah saya diturunkan dalam semua perlawanan setakat ini.

“Peranan saya lebih membantu di bahagian tengah untuk membantu bahagian pertahanan atau serangan berbeza ketika di Kedah, saya banyak diletakkan peranan selaku pemain nombor enam.

“Walaupun dua perlawanan terakhir (PJ City FC, Sri Pahang FC) saya diturunkan selaku pemain gantian kerana faktor kecederaan, saya tetap gembira masih diberi ruang.

“Memang sedikit terjejas kerana saya tidak boleh terlalu fizikal semasa bersaing dengan pemain lawan dalam banyak situasi tetapi mujur jurulatih masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk turun bermain,” katanya.