'Terkejut beruk' terima bil air hampir RM100,000

A
A

DUNGUN - Seorang nenek berusia 80 tahun 'terkejut beruk' apabila menerima bil air mencecah hampir RM100,000.

Dayang @ Sakti Ibrahim menerima bil berkenaan untuk rumah yang didiami di kampung Baru, Kuala Abang, semalam.

Kes tersebut tular apabila bil berkenaan dimuat naik oleh cucunya, Noramira Mohd Nozlan, 25 di laman sosial Facebook.

Noramira berkata, berlaku salah faham apabila bil yang silap tersebut dibawa pulang oleh suaminya.

Menurutnya, ketika di kedai makan, bil yang masih berada dalam keadaan elok itu diserahkan oleh peniaga kepada suaminya.

"Sepatutnya bil yang silap itu dimusnahkan tetapi ia masih berada dalam keadaan baik.

"Terkejut melihat bil yang mencecah RM98,000 itu, saya segera tunjuk kepada nenek," katanya.

Katanya, kerana terkejut, nenek mengajaknya ke pejabat SATU.

Bagaimanapun, kebimbangan warga emas berkenaan reda apabila Syarikat Air Terengganu (SATU) segera memberi respon dan datang ke rumah memaklumkan terdapat kesilapan pada bil.

"Semuanya telah selesai serta bil sebenar termasuk tunggakan hanya berjumlah RM162.

"Terima kasih SATU kerana permudah urusan kami," katanya.