Empat lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM241,500

Pil erimin 5 dan syabu yang dirampas dari suspek.
Pil erimin 5 dan syabu yang dirampas dari suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menahan empat lelaki warga tempatan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM241,500 dalam dua serbuan di Butterworth di antara jam 9.30 hingga 10.10 malam, 23 April lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang ditahan berdekatan keretanya.

"Hasil pemeriksaan kereta suspek, polis menjumpai 700 biji pil erimin 5 seberat 185 gram bernilai RM10,500 dan 2.062 kilogram (kg) Syabu yang dianggarkan bernilai RM72,000.

"Kesemua dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan dan ia boleh digunakan oleh 2,000 hingga 3,000 penagih jika ia terlepas di pasaran," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, suspek yang tiada pekerjaan itu mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencingnya positif dadah.

"Kita turut menyita wang tunai RM20,000, tiga bentuk cincin dan dua utas rantai emas yang dianggarkan bernilai RM29,235," katanya.

Dalam serbuan kedua, Noorzainy berkata, polis menahan tiga lelaki di sebuah rumah dan merampas 1,000 biji pil erimin 5 seberat 262 gram bernilai RM15,000.

Artikel Berkaitan:

"Selain erimin 5, kita turut merampas syabu seberat 4.170 kg bernilai RM144,000. Ketika ditahan, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 28 hingga 44 tahun berada di rumah tersebut.

"Mereka ini merupakan ahli sindiket mengedar dadah yang aktif di sekitar Butterworth. Siasatan awal mendapati, kemungkinan tiga suspek ini mempunyai hubungkait dengan suspek pertama yang ditahan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan mempunyai rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah.

"Dua daripada suspek positif dadah. Tiada sitaan dilakukan dalam tangkapan kedua ini. Kesemua dadah ini boleh digunakan 4,000 hingga 5,000 penagih jika ia terlepas di pasaran.

"Kesemua suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.