Warga Amerika Syarikat didakwa tipu bank lebih RM3 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu sebuah bank membabitkan pembayaran penginapan dan kemudahan hotel berjumlah lebih RM3 juta, Mac lepas.

Tertuduh Rathan Frank Thorng, 56, yang turut memiliki kerakyatan Kemboja, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu selaku pemegang kad debit Mastercard Santander Bank dengan mengetahui bahawa akaun bank sudah ditutup, didakwa telah menipu Maybank Berhad dengan cara membuat transaksi secara ‘offline’ iaitu secara tidak sah bagi pembayaran penginapan dan kemudahan untuk ‘Ankor Thok Development Sdn Bhd Group Meeting’ di Hotel Pullman.

Tindakan itu menyebabkan Maybank melakukan pemindahan secara tidak sah kepada Hotel Pullman berjumlah RM3,570,241.60 di hotel berkenaan, Jalan Pantai Jaya, di sini, antara 26 Mac dan 6 April lepas, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin manakala tertuduh diwakili peguam M Theeruvarasu. - Bernama

Artikel Berkaitan: