Makmal dadah: Heroin bernilai setengah juta dirampas

A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah rumah diserbu selepas didapati jadi makmal memproses dadah yang aktif di negeri ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan itu dijalankan oleh pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang pada 9.20 pagi, 16 Februari lalu.

Menurutnya, sebanyak tiga serbuan dibuat melibatkan tiga buah rumah di Taman Sentral, Butterworth, Pangsapuri Melody Holmes, Air Itam dan Taman Sri Hijau, Jelutong.

"Serbuan pertama adalah di Butterworth yang dijadikan makmal mini memproses dadah jenis heroin. Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 33.8 kilogram (kg) dadah jenis heroin; 745 gram heroin base; 44.8 kg serbuk kafein, 550 gram serbuk dan cecair kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah.

"Dalam serbuan itu juga, dua lelaki berusia 33 dan 34 tahun berjaya ditahan. Ujian saringan dadah kedua-duanya positif dadah dan mereka juga mempunyai rekod jenayah melibatkan dadah," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, susulan daripada tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Air Itam dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun.

"Tiada rampasan dadah dibuat dalam tangkapan lelaki yang merupakan ketua sindiket itu. Dia juga mempunyai rekod jenayah melibatkan dadah namun saringan dadah ke atasnya negatif.

"Dalam serbuan ketiga pula, seorang lelaki berusia 30-an ditahan di sebuah rumah di Jelutong. Tiada rampasan dibuat manakala ujian dadah juga negatif. Dia juga mempunyai rekod jenayah melibatkan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohmad berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM556,000.

"Selain dadah, empat buah kereta turut disita melibatkan Toyota Alphard; Nissan Serena, Proton Saga FL dan Proton Wira Aeroback. Nilai keseluruhan kenderaan disita adalah RM392,000. Wang tunai sebanyak RM8,200 juga dirampas.

"Kesemua dadah ini untuk pasaran tempatan dan kita masih menyiasat tempoh mereka beroperasi. Berdasarkan rampasan dadah ini, ia untuk edaran pasaran tempatan. Namun, berdasarkan keadaan makmal dadah ini, sindiket ini amat aktif dalam memproses dadah iaitu tiga hingga empat kali memproses dalam sebulan," katanya.

Beliau berkata, kesemua dadah itu mampu menampung bekalan 113,000 penagih jika ia berjaya dijual.

"Kesemua yang ditahan direman sehingga 23 Februari ini untuk siasatan lanjut. Mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bagi tahun ini sehingga 14 Februari lalu, nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM44.66 juta melibatkan 25,625 tangkapan iaitu 23,967 warga tempatan dan 1,658 warga asing," katanya.