X

Kindly register in order to view this article
!

Belia Rasuah Busters dilancarkan

Jufitri berucap ketika Majlis Pelancaran Belia Rasuah Busters di Dewan Karangraf, pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan gabungan Belia Rasuah Busters akan memberikan dukungan kepada pasukan utama dalam kempen tersebut bagi memberikan kesedaran terhadap golongan belia dan masyarakat di peringkat akar umbi.

Pengerusinya, Jufitiri Joha berkata, penglibatan anak muda dalam usaha memerangi rasuah adalah sangat penting dan relevan dengan mengambil kira kapasiti, potensi dan kedudukan yang dimiliki oleh kumpulan tersebut.

“Kita sedari bahawa hampir separuh penduduk Malaysia adalah generasi muda dan kita sedia maklum mereka adalah generasi masa depan kita.

“Justeru, kesedaran dan penglibatan anak muda penting kerana ada sebahagian anak muda yang masih kabur tentang definisi rasuah sebenarnya dan menyebabkan ada sebahagiannya terlibat dengan kegiatan itu.

“Malah ada juga yang sedar tetapi mereka terlibat kerana faktor untuk menjalankan gaya hidup yang mewah. Jadi gerakan ini adalah untuk memberikan kesedaran daripada bawah khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Belia Rasuah Busters di Dewan Karangkraf sini pada Isnin.

Turut hadir ketika majlis tersebut ialah Ketua Pasukan Rasuah Buster, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Pada 5 April lalu, kempen Rasuah Busters terus diperhebatkan dengan pengumuman seramai 15 personaliti daripada pelbagai bidang melalui pembentukan Pasukan Teras Rasuah Busters.

Pasukan Teras Rasuah Busters bertanggungjawab dalam penyusunan strategi, pengurusan komunikasi dan gerak kerja serta pembentukan jalinan strategik antara individu dan pelbagai kumpulan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Jufitri berkata, gabungan yang dibentuk itu akan dikoordinasikan secara bersahaja ataupun dipanggil ‘loose coalition’ oleh sekretariat Belia Rasuah Busters dengan setiap pertubuhan di bawahnya akan diberikan autonomi untuk menggerakkan aktiviti yang berkaitan.

Hussamuddin (empat kanan depan) dan Jufitri (depan, tiga dari kanan) ketika Majlis Pelancaran Belia Rasuah Busters di Dewan Karangraf di Seksyen 15, Shah Alam pada Isnin.
Hussamuddin (empat kanan depan) dan Jufitri (depan, tiga dari kanan) ketika Majlis Pelancaran Belia Rasuah Busters di Dewan Karangraf di Seksyen 15, Shah Alam pada Isnin.

“Kita amat menggalakkan apa-apa aktiviti yang menjurus ke arah untuk membasmi rasuah dan memberikan kesedaran mengenai jijiknya rasuah dalam kalangan belia.

“Sebagai contoh yang kita cadangkan tadi, setiap gerakan belia tubuhkan dia punya unit integriti dan juga unit anti rasuah dan mereka akan menjalankan aktiviti memperkuatkan integriti dan membasmi rasuah.

“Dan mereka juga boleh sebagai contoh melaksanakan pelbagai program lain dan membawa logo Belia Rasuah Busters ataupun gunakan tanda pagar #beliarasuahbusters. Itu pun dah memadai untuk cipta satu kesedaran dan gelombang,” ujar beliau.

Libat golongan belia rentas agama, kaum, politik

Jufitri yang juga merupakan Presiden MBM menambah, selain daripada persatuan di bawah pertubuhannya, gabungan Belia Rasuah Busters itu turut mendapat sokongan pelbagai kumpulan belia terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan juga fahaman politik.

Katanya, antara pimpinan sayap pemuda parti politik yang hadir pada majlis tersebut ialah Exco Pemuda Pas, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai; Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin dan Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Siti Rahayu Baharin.

Turut sama menyatakan sokongan ialah Pengerusi Biro Perundangan Armada Bersatu, Mohamad Siddiq Azani dan Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.

Hussamuddin berucap ketika Majlis Pelancaran Belia Rasuah Busters di Dewan Karangraf, pada Isnin.
Hussamuddin berucap ketika Majlis Pelancaran Belia Rasuah Busters di Dewan Karangraf, pada Isnin.

Sementara itu, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf mencabar setiap organisasi belia yang bersama dalam gabungan tersebut untuk membuat tindakan sehingga memberikan kesan signifikan terhadap usaha memerangi rasuah dalam negara.

Menurutnya, sekarang adalah waktu yang tepat kepada golongan belia untuk melakukan perubahan terhadap budaya rasuah dalam masyarakat dan golongan anak muda perlu berani menunjukkan komitmen tinggi dalam menangani situasi tersebut.

“Sekarang ini adalah masa untuk bertindak. Cakap sahaja tidak guna. Kita berikan autonomi kepada setiap organisasi masing-masing tetapi kena buat secara agresif supaya ada impak yang tinggi.

“Dan cabaran kepada anda semua adalah bagaimana untuk menterjemahkan apa yang ada dalam fikiran ke dalam setiap tindakan yang dilakukan,” ujar beliau.

Tambah Hussamuddin, beliau yakin dengan kekuatan yang dimiliki oleh anak muda di samping pertolongan Ilahi, Malaysia boleh berubah menjadi sebuah negara yang lebih baik.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!