Kenapa takut sangat dengan UMNO, soal Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur perbuatan sesetengah pihak yang dilihat takut dengan UMNO sehingga rancak menabur fitnah terhadap parti itu walaupun ketika bulan Ramadan.

Menurutnya, antara fitnah berkenaan ialah dakwaan mengatakan UMNO mengalami krisis dalaman serta pergaduhan antara beliau dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Sudah-sudahlah, hentikanlah tabiat buruk itu. UMNO sejak dahulu ikatannya sangat kuat. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tetapi ia bukan asbab untuk berpecah," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menasihatkan pihak terbabit agar menghentikan tabiat buruk menabur fitnah.

Menurutnya, tiada krisis dalaman berlaku dalam parti itu, malah ahli-ahli UMNO juga tidak gilakan kuasa kerana kesetiaan dan keikhlasan mereka sangat besar walaupun berhadapan dalam situasi sukar.

"Apatah lagi akar umbi dan perwakilannya sangat mempercayai satu sama lain. Ahli-ahli UMNO sangat matang. Mereka boleh menilai strategi politik busuk mahu menghancurkan UMNO.

"Saya tertanya-tanya kenapa takut sangat dengan UMNO? UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditewaskan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) angkara fitnah dan UMNO bukanlah parti yang menerajui Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, walaupun UMNO memberikan dokongan membentuk kerajaan, pihak berkaitan masih menghina UMNO sehingga melabelkan pimpinan parti itu sebagai 'binatang'.

Artikel Berkaitan:

"Adakah ini amalan mulia pada bulan Ramadan? Sepatutnya jika mahu memenangi hati rakyat dan pengundi, tunjukkanlah tadbir urus yang baik, wujudkan peluang pekerjaan yang banyak, rancakkan semula ekonomi dan tarik semula pelaburan asing.

"Atau tetapkan dasar tepat ketika pandemik ini dan jangan 'flip flop'. Kendalikan kes Covid-19 secara berkesan selain segerakan pemberian vaksin. Jika ini berlaku, nescaya rakyat akan suka. Apa yang penting tampilkan politik matang," katanya.

Ahmad Zahid berkata, ancaman kepada kerajaan ketika ini ialah Covid-19 dan bukannya UMNO.

"Maka uruskan virus berkenaan dan bukannya parti UMNO," katanya.