X

Kindly register in order to view this article
!

Budak maut kemalangan bercita-cita jadi penghafal al-Quran

Allahyarham Muhammad Amir Arsyad bergambar kenangan bersama adik bongsunya yang berusia dua bulan.
A
A

KUALA NERANG - Kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Kuala Nerang-Semeliang di sini pada Ahad bercita-cita untuk menjadi seorang penghafaz al-Quran.

Muhammad Amir Arsyad Mohd Irwan, 6, dan bapanya, Mohd Irwan Ismail, 37, maut selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal jenis Yamaha dipercayai akibat mengelak haiwan melintas jalan.

Ibunya, Sakiroh Shuib, 38, berkata, Allahyarham Muhammad Amir yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu menunjukkan minat dalam bidang akademik dan bercita-cita mahu menjadi penghafaz al-Quran.

"Dia nak jadi macam abang dia (anak kedua umur 12 tahun) yang dah boleh jadi bilal kat surau sini.

"Pagi-pagi dia suruh gerak sebab nak pergi sama ke surau pada waktu Subuh, nak jadi macam abang dia. Dia dah tunjuk minat dan kata nak jadi penghafaz al-Quran," katanya.

Sakiroh berkata, sebelum kemalangan berlaku, anaknya itu yang merupakan murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang mahu mengikut suaminya, Allahyarham Mohd Irwan Ismail, 37, untuk mengambil anak ketiga mereka di SK Kuala Nerang.

"Semasa mahu keluar dari rumah untuk menjemput anak seorang lagi, tiba-tiba Amir juga nak ikut. Dia siap pakai baju dan tunggu di pintu rumah.

"Suami tegur saya, kenapa anak mahu ikut. Tapi akhirnya dia bawa juga anak bersama," katanya semasa menerima kunjungan Pegawai Khas Kepada Ahli Parlimen Padang Terap, Jasnizam Husni di Perumahan KEDA Kampung Semeliang di sini pada Isnin.

Jasnizam hadir menyampaikan ucapan takziah dan sumbangan daripada Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Mahdzir Khalid kepada keluarga berkenaan.

Jasnizam (kiri) hadir menyampaikan sumbangan kepada Sakiroh di di Perumahan KEDA Kampung Semeliang, Kuala Nerang pada Isnin.
Jasnizam (kiri) hadir menyampaikan sumbangan kepada Sakiroh di di Perumahan KEDA Kampung Semeliang, Kuala Nerang pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut nahas elak haiwan melintas

Sementara itu, Sakiroh berkata, tiada perubahan yang ditunjukkan oleh kedua-duanya, cuma anaknya nampak sedikit diam selepas pulang dari sekolah pada Ahad.

"Tapi cikgu beritahu yang dia aktif di sekolah. Amir berkawan dengan semua kawan-kawan dalam kelas. Dia cuba nak habiskan membaca buku sekolah. Dia memang pandai dan sudah pandai membaca al-Quran ayat Iqra 5," katanya.

Menurutnya, Allahyarham suaminya sebelum ini bekerja sebagai penjual ais krim di hadapan SK Seri Bakti di sini bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Hasil perkahwinan pada tahun 2006, katanya, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat perempuan dan dua lelaki yang berusia dua bulan sehingga 15 tahun.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan insiden tiga maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Yamaha di Kilometer 5 Jalan Kuala Nerang-Semeliang pada jam 4.15 petang.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Semeliang menuju ke arah Kuala Nerang tersebut cuba mengelak haiwan yang melintas jalan secara tiba-tiba.

Dalam kejadian itu turut meragut nyawa penunggang motosikal berkenaan.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semeliang di sini selepas Zohor pada Isnin.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!