Nasib anak Bumiputera tiada dokumen dapat perhatian

Maszlee Malik - Foto Bernama
Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan memberi peluang luas kepada anak-anak Bumiputera yang tidak mempunyai dokumen untuk mendapat akses kepada pendidikan supaya tidak tidak terpinggir dalam arus perubahan semasa.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, kerajaan telah memperkenal dasar penerimaan masuk ke sekolah oleh kanak-kanak tanpa dokumen yang menyaksikan seramai 2,635 orang kanak-kanak telah mendaftarkan diri dan kini mendapat akses pendidikan yang sama seperti orang lain.

"Apa yang paling menarik ialah kanak-kanak dari Sabah dan Sarawak mencatatkan kemasukan paling tertinggi. Sebanyak 1,961 kanak-kanak dari Sabah telah mendaftar, dan sebanyak 263 kanak-kanak dari Sarawak juga telah mendaftar di sekolah-sekolah berdekatan mereka.

"Ini semua dilakukan dengan berhati-hati, mengambil kira sentimen masyarakat setempat dan pelbagai faktor yang lain. Misalnya, bagi kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri untuk diterima masuk ke sekolah, yang mana salah seorang ibu bapa kanak-kanak tersebut adalah warganegara.

"Mereka memerlukan Surat Pengesahan atau Surat Perakuan daripada sama ada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Pegawai Daerah, Penghulu, Ketua Kampung, Ketua Kaum atau Ketua Rumah panjang tempat tinggal kanak-kanak tersebut," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya hari ini.

Maszlee berkata, hampir kesemua kanak-kanak terbabit merupakan Bumiputera yang hanya memerlukan dokumen dan pengesahan dari pihak berkuasa atas dasar pendidikan untuk semua.

"Asalkan mereka semua mendapat pendidikan yang secukupnya, itu sudah membahagiakan kita semua. Imaginasi ini yang saya cuba bawa, sepertimana yang saya tulis.

"Pendidikan Bumiputera tidak pernah terpinggir dari gelombang perubahan. Mereka tetap akan terus menjadi nakhoda reformasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya satu perbahasan lebih mendalam dibuat berhubung hala tuju pendidikan dalam era Malaysia Baharu yang tidak mengetepikan agenda Bumiputera.

"Kesemua dasar yang dibuat sejak PH menjadi kerajaan, mengambil kira keperluan yang sudah tentunya memberi manfaat yang besar buat Bumiputera tanpa menafikan hak dan keperluan pihak yang lain," ujar beliau.