PATI dicekup ketika mahu beli barang

Antara PATI yang ditahan dalam operasi di Pasar Plaza Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam, pada Ahad.
Antara PATI yang ditahan dalam operasi di Pasar Plaza Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam, pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Selangor menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak lelaki atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

Kesemua PATI itu ditahan selepas pemeriksaan di sekitar Pasar Plaza Sri Muda, Seksyen 25 di sini ketika mereka sedang membeli barangan keperluan pada Ahad.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu menahan tiga warga India, Pakistan (15), Indonesia (2), Nepal (3) dan Myanmar (1).

"Seramai 69 warga asing diperiksa dalam operasi bermula pada jam 8 pagi dengan menyasarkan lot kedai di kawasan itu.

"Semakan mendapati antara kesalahan yang dilakukan ialah tinggal tanpa pas atau permit sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas yang diberikan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Mohamad Shukri berkata, siasatan awal mendapati ramai warga asing membeli barangan keperluan di situ kerana kediaman mereka terletak berhampiran.

Tambahnya, bagaimanapun, warga asing yang ditahan didapati menyalahgunakan kelulusan bekerja bukan mengikut Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor yang diberikan. Ada yang memberikan alasan hanya bekerja separuh masa di pasar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Itu bukan alasan bagi membolehkan PATI bekerja di sektor berlainan," katanya.

Jelasnya, pihak MBSA juga akan mengambil tindakan terhadap peniaga mengikut bidang kuasa yang ada.

Justeru, Imigresen akan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan majikan atau pelindung kepada PATI ini dan sekiranya terbukti, mereka ini akan dikenakan tindakan undang-undang.