'Henti polemik politik untuk empat bulan lagi'

Nik Muhammad Zawawi Salleh
Nik Muhammad Zawawi Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli politik diminta tidak berterusan bermain polemik dalam tempoh darurat berbaki empat bulan untuk memastikan negara berjaya menangani pandemik Covid-19 dengan sebaik mungkin.

Seruan itu dibuat Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyifatkan pergantungan Parlimen ekoran proklamasi darurat hingga hari ini bukan bertujuan kepentingan politik mana-mana pihak.

Nik Muhammad Zawawi sebaliknya berkata, ia adalah untuk mendidik semua ahli Parlimen agar mengutamakan nasib dan kepentingan rakyat yang sedang bergelut dalam pandemik Covid-19.

Menurutnya, desakan demi desakan untuk segera diadakan semula persidangan Parlimen hakikatnya tidak menzahirkan sensitiviti kebersamaan dengan rakyat kerana amalan demokrasi bukan hanya bersidang.

"Malah ia boleh disuburkan dengan keterbukaan dalam memberikan pandangan, idea, cadangan dan kritikan menerusi menteri-menteri yang mewakili parti UMNO itu sendiri dalam Kabinet Malaysia.

"Usah terlalu mengikut rentak Pakatan Harapan (PH) yang sememangnya dari dahulu tidak mempedulikan nasib rakyat dan isu ummah.

"Desakan mereka hanya mahu menunjukkan seakan mereka sahaja hero sedangkan merekalah angkara kepada gelombang ketiga pandemik ini dengan tercetus Pilihan Raya Negeri Sabah menjadikan rakyat marah dan jemu dengan isu politik tidak berkesudahan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, dalam tempoh darurat adalah wajar semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberikan tumpuan turun ke kawasan masing-masing dengan lebih kerap bagi mendekati serta membantu rakyat susah dan kesempitan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini masanya wakil rakyat dipilih rakyat menunjukkan keprihatinan dan kebersamaan mereka termasuk mendekati rakyat dalam kawasan tanpa mengambil kira pengundi di situ menyebelahi mereka atau sebaliknya.

"Segala perbincangan dan cadangan juga boleh dibincangkan secara terbaik menerusi wakil-wakil lantikan menteri kabinet.

"Ia (Parlimen) bukannya ditutup tapi dikawal kerana ada kala perbahasan dalam Parlimen hanya sebagai tempat melempias nafsu yang dipendam bukannya membawa suara rakyat," katanya.

Beliau dengan tegas mengajak semua parti politik mewakili kerajaan atau pembangkang agar tidak menjadi contoh teladan buruk kepada rakyat dalam polemik yang dibuat sehinggakan terdapat warganet di media sosial semakin berani menghina dan mencalarkan imej Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong.

"Ini tidak lain apabila naratif desakan mengadakan persidangan Parlimen dengan segera hanya memberikan 'peluru' untuk dituju kepada Yang di-Pertuan Agong selaku pemegang kuasa mengisytiharkan proklamasi darurat sebelum ini," katanya.

Justeru, semua pihak termasuklah pembangkang digesa untuk menggunakan ruang yang disediakan pihak kerajaan untuk menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan.

"Ini termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa darurat," katanya.