Komik kontroversi BRI kekal haram

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin mengekalkan keputusan perintah larangan penerbitan komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI)' oleh bekas ahli DAP, Dr Hew Kuan Yau yang didakwa mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendapati menteri yang mengeluarkan perintah itu adalah wajar, sah dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah.

Noorin berkata demikian ketika prosiding keputusan permohonan semakan Kuan Yau atau dikenali sebagai Superman Hew untuk semakan kehakiman terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan keputusan pengharaman terhadap komik kontroversi itu pada dua tahun lalu.

Ketika membaca keputusan ringkas, Noorin berkata, tindakan Menteri Dalam Negeri ketika itu mengharamkan komik tersebut adalah sah di sisi undang-undang sejajar dengan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) berperlembagaan.

"Siasatan ke atas kandungan komik itu mendapati ia mengandungi halaman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang serius.

"Oleh itu, tidak ada yang haram mengenai keputusan menteri dalam perintah itu kerana kerajaan berhak untuk menjaga keamanan masyarakat," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Datuk J Samesh yang mewakili Kuan Yau berkata, pihaknya akan mengikut arahan daripada anak guam sama ada akan membuat rayuan atau sebaliknya.

Dalam prosiding itu, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.

Artikel Berkaitan:

Mengikut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 26 November 2019, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Kementerian Dalam Negeri; Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan dinamakan sebagai responden.

ARTIKEL BERKAITAN: Komik propaganda dilarang di Malaysia: KDN

KDN akan rampas komik propaganda: Muhyiddin

Mengikut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 26 November 2019, Kuan Yau membuat permohonan semakan kehakiman itu selepas kerajaan mengharamkan buku komiknya kerana didakwa mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

Dalam satu kenyataan media pada 23 Oktober 2019, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Seksyen itu menjelaskan bahawa KDN boleh melarang apa-apa penerbitan jika pihak itu berpuas hati bahawa terdapat bahan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, gugat keselamatan moral, kepentingan awam, kepentingan negara atau kemungkinan untuk mengelirukan pendapat awam.

Menurut KDN, kandungan penerbitan, antara lain, cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme menyebarkan fakta-fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunisme dan mengandungi unsur-unsur yang menggalakkan sokongan dan simpati untuk perjuangan komunis.

Komik yang ditulis oleh Kuan Yau diterbitkan oleh Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Cina.

Larangan kementerian merangkumi kesemua tiga versi bahasa berkenaan.

Ia sebahagian besarnya mempromosi China dan BRI sambil meletakkan dunia Barat dalam aspek negatif.

Antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan ialah menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uighurs di China yang dikatakan dimasukkan ke dalam 'kem pendidikan semula' oleh Beijing sebagai radikal.