Kembalikan mandat rakyat jadi keutamaan MKT UMNO

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat mengembalikan mandat kepada rakyat setelah Covid-19 terkawal menjadi keutamaan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Ahad.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, hasrat itu dikhuatiri tergendala selagi Parlimen ditutup dan darurat menjadi penghalang kepada proses semak dan imbang.

“Jika ada hujah mahu mengadakan pilihan raya kelak sebagai jalan keluar daripada kemelut politik, itupun tidak mampu berlaku selagi Parlimen tak bersidang dan darurat terpakai.

“Jangankan soal membuktikan keabsahan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN), sedangkan bersidang pun tidak.

“Jangankan hendak melulus perbelanjaan, sedangkan bersidang pun tidak,” katanya melalui siaran di Facebook beliau pada Isnin.

Shahril Sufian yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, keputusan diambil atas semangat musyawarah dan bijaksana bagi memperjuang agenda rakyat dan parti.

“Apabila bercakap agenda parti pun, ia bukan atas pertimbangan kepentingan pemimpin atau ahli parti semata-mata, tetapi juga kerana kita percaya kepimpinan oleh UMNO adalah yang terbaik untuk Malaysia.

“UMNO percaya selagi demokrasi berparlimen tergendala, selagi prinsip akauntabiliti dikesampingkan, selagi itulah pelabur menjauhi, selagi itu ekonomi hambar, akibat pembuatan dasar negara tidak terurus seperti sediakala,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: MKT UMNO ambil langkah bijaksana, cermat

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO mengambil pendekatan komprehensif dan berhikmah yang memeriksa segala sudut sebelum menetapkan sebarang tarikh dalam hal pemilihan parti.

“MKT memutuskan untuk mendapat panduan daripada pihak berwajib berkenaan kaedah terbaik, mengambil kira kekangan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” jelasnya.

Pada Ahad, MKT UMNO memutuskan untuk mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen kembali bersidang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.