Rakyat Pahang buang 1,200 tan sisa sampah sehari

Gambar hiasan. - Foto 123RF Gambar kecil: Sharudin Hamid
Gambar hiasan. - Foto 123RF Gambar kecil: Sharudin Hamid
A
A
A

KUANTAN - Rakyat Pahang menghasilkan kira- kira 1,200 tan sisa sampah pada setiap hari.

Itu data terbaharu yang direkodkan membabitkan 12 daerah di negeri ini setakat Mac lalu.

Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, penghasilan sisa sampah sebanyak itu dalam tempoh sehari membabitkan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) dijana bagi setiap individu.

Menurutnya, jumlah itu dijangka terus meningkat dan boleh menyumbang kepada ketepuan 10 tapak pelupusan sampah di Pahang.

"Sisa domestik terutama makanan adalah sampah paling banyak dibuang setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ditanya mengenai pembaziran makanan sepanjang Ramadan, Sharudin berkata, setakat ini pihaknya masih belum mempunyai data mengenai isu terbabit.

Sharudin berkata, pihaknya bagaimanapun sudah menjalankan tinjauan persepsi dan tingkah laku masyarakat bagi mengelak pembaziran pada tahun lalu.

Jelasnya, tinjauan itu membabitkan 3,780 responden dan majoriti responden mengakui makanan dibazirkan kerana tiada individu yang ingin menikmati juadah itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, tabiat pembelian dalam kuantiti banyak juga menjadi punca pembaziran dalam kalangan masyarakat sebagai konsumer.

"Kita akui kebanyakan masyarakat terpengaruh dengan amalan pembelian pukal dengan bungkusan besar bagi menjimatkan duit, membeli dengan kuantiti banyak untuk dijadikan stok makanan, dan mudah terpengaruh dengan strategi pemasaran melalui tawaran istimewa.

"Akhirnya perbuatan mereka itu mengundang kepada pembaziran makanan," ujarnya.

Sharudin berkata, bagi meminimumkan penjanaan sisa pepejal harian, penggunaan konsep pengurangan, guna semula dan kitar semula (3R) adalah kaedah yang paling berkesan.

Tegasnya, aplikasi 3R diperkenalkan sebagai usaha mengatasi masalah itu.

“Masyarakat perlu mengaplikasikan amalan 3R dalam kehidupan seharian dengan merancang pembelian makanan.

"Ini dapat mengelakkan pembelian makanan yang tidak diperlukan dan sekaligus dapat mengurangkan sisa makanan yang dijana ke tapak pelupusan, ” jelasnya.

Sharudin berkata, selain itu, plastik dan kertas dapat dikurangkan di tapak pelupusan dengan mengasingkannya daripada sisa yang tidak dapat dikitar semula.