PKR Perak puji keputusan MKT UMNO

Farhash Wafa Salvador
Farhash Wafa Salvador
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyifatkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendesak kerajaan membenarkan Parlimen kembali bersidang menunjukkan kematangan parti itu.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, keputusan itu pasti diterima baik oleh rakyat yang turut mahukan Parlimen dibenarkan bersidang semula sewaktu tempoh darurat.

Menurutnya, ketegasan yang ditunjukkan parti itu dilihat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

"Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibenarkan bersidang semula menunjukkan kematangan politik UMNO walaupun sedang berada di dalam kerajaan.

"Situasi rakyat yang semakin meruncing pasca pandemik Covid-19 di samping ketiadaan semak dan imbang bagi sebuah pentadbiran yang demokratik hanya mengundang kemudaratan kepada ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Farhash Wafa berkata, malah apabila timbul persoalan mengenai Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) ia dibimbangi tidak diuruskan dengan baik.

Katanya, malah KWAN itu menghadapi risiko dijarah sekiranya kerajaan PN terus menggunakan kuasa darurat untuk mengelak akauntabiliti.

Beliau berharap agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap terbuka dalam hal tersebut dan menyedari kepentingan rakyat diutamakan sebelum kepentingan politik.

Artikel Berkaitan:

MKT UMNO pada Ahad memutuskan untuk mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen kembali bersidang.

Menerusi kenyataan Ahmad, keputusan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat MKT UMNO desak Parlimen kembali bersidang