Sarjan polis didakwa terima rasuah RM13,000

Mohd Saiful (belakang) dibawa anggota SPRM ke kaunter jamin Mahkamah Alor Setar untuk membayar wang jaminan pada Isnin.
Mohd Saiful (belakang) dibawa anggota SPRM ke kaunter jamin Mahkamah Alor Setar untuk membayar wang jaminan pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang sarjan polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas kesalahan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM13,000 sebagai dorongan untuk menutup satu kes narkotik pada tahun 2018.

Mohd Saiful Safuddin, 31, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh yang berpangkat sarjan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik secara rasuah meminta RM13,000 daripada Abdul Rahman Mumtaz sebagai dorongan menutup satu kes narkotik di Kepala Batas, Alor Setar.

Kejadian berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 7 petang, 19 Februari 2018.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh secara rasuah menerima suapan sebanyak RM9,000 daripada Abdul Rahman sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan ke atas kes narkotik tersebut.

Kejadian berlaku semasa tertuduh berada di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di kawasan parkir teksi Stesen Bas Shahab, Alor Setar pada jam 4.30 petang, 21 Februari 2018.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh yang berada di dalam sebuah kereta Myvi di sebelah restoran KFC Shahab Perdana juga secara rasuah menerima suapan daripada Abdul Rahman sebanyak RM4,000 bagi tujuan yang sama pada jam 6.30 petang, 22 Februari 2018.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Saiful didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohamad Fauzee Azizan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Hakim Hamran memohon wang jaminan dikurangkan kepada kadar minimum kerana Mohd Saiful perlu menyara seorang isteri yang tidak bekerja termasuk dua orang anak.

Selepas mempertimbangkan semua perkara, Murtazadi menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin kepada tertuduh yang masih lagi bertugas di IPD Kota Setar.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 8 Jun depan.