Kes selesai, kerajaan bayar Maria Chin RM25,000

Maria Chin - Foto Astro Awani
Maria Chin - Foto Astro Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes saman Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Polis Negara dan dua lagi berhubung penahanannya secara salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) pada 2016, berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini selepas Kerajaan bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM25,000 kepada bekas Pengerusi Bersih 2.0 berkenaan.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Maria berkata Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan dalam kes saman bersetuju membayar ganti rugi itu (RM25,000) termasuk faedah kepada anak guamnya sebagai penyelesaian penuh dan muktamad kes dan tanpa sebarang pengakuan terhadap liabiliti.

"Kesemua defendan juga bersetuju membayar kos berjumlah RM5,000 kepada plaintif (Maria)," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini.

Gurdial berkata mahkamah kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan kes saman itu.

Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan yang bertindak bagi pihak ketiga-tiga defendan.

Kes itu masih belum dibicarakan dan pada peringkat pengurusan kes.

Pada 6 Ogos tahun lepas, Maria, 63, yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya menyaman ketiga-tiga defendan atas dakwaan menyebabkannya ditangkap, ditahan dan dipenjara secara salah di bawah SOSMA.

Dalam penyataan tuntutan, Maria mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA di pejabat Bersih pada 18 Nov 2016 dan barang-barangnya turut dirampas termasuk telefon bimbit, peralatan komputer dan beberapa dokumen.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, penangkapannya dibuat berdasarkan atas kepercayaan politik dan dibuat bagi melayani kehendak parti yang merupakan kerajaan ketika itu bagi menggagalkan perhimpunan aman diadakan serta untuk menakutkan orang awam dari menyertai perhimpun berkenaan.

Maria mendakwa penahanannya selama 10 hari bermula 18 November 2016 adalah bertujuan untuk menindasnya berikutan beliau terpaksa tidur dalam sel individu tanpa tingkap dan tidur atas lantai konkrit dengan hanya beralaskan sekeping kayu tanpa dibekalkan tilam, bantal dan selimut.

Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 3 Oktober tahun lepas, kesemua defendan mendakwa tangkapan dan penahanan plaintif adalah sah mengikut undang-undang dan bukannya dibuat atas dasar politik atau niat jahat. - Bernama