Dua tekong terbabit aktiviti penyeludupan PATI ditahan

Dua tekong warga Indonesia yang ditahan di sebuah permis di Bagan Sungai Besar pada Ahad.
Dua tekong warga Indonesia yang ditahan di sebuah permis di Bagan Sungai Besar pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Dua tekong warga Indonesia ditahan di sebuah premis di Bagan Sungai Besar di sini pada Ahad kerana disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, kedua-dua lelaki berusia 28 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 pagi.

Beliau berkata, dua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan PATI ke negara ini menggunakan bot nelayan melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

"Polis turut merampas sebuah bot serta enjin dan telefon bimbit dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM12,500," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rizal berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Besar di sini untuk tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

Menurutnya, tangkapan itu juga berjaya memutuskan salah satu sindiket penyeludupan migran di daerah Sabak Bernam.

"Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid 19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan polis," katanya.

Artikel Berkaitan: