Bazar Aidilfitri Lorong TAR meriah selepas beroperasi hingga 2 pagi

Keadaan di dalam bazar Aidilfitri Lorong TAR. Foto: Sinar Harian
Keadaan di dalam bazar Aidilfitri Lorong TAR. Foto: Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melanjutkan tempoh operasi bazar Aidilfitri sehingga jam 2 pagi disambut baik warga kota.

Ia ibarat 'lampu hijau' buat warga kota bagi memeriahkan bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Tinjauan Sinar Harian pada malam Sabtu mendapati, 'lokasi wajib singgah' menjelang Aidiltifti itu dipenuhi orang ramai dengan ratusan warga kota sanggup berbaris untuk masuk ke tapak niaga tersebut.

Biarpun bahagian dalamnya nampak terkawal namun gerai yang disusun rapat dan ruang pejalan kaki yang sempit ditambah pula sikap sebilangan ibu bapa yang membawa anak kecil dengan 'stroller' nyata membimbangkan mata yang melihat.

Orang ramai beratur panjang memasuki bazar Aidilfitri Lorong TAR. Foto: Tular.
Orang ramai beratur panjang memasuki bazar Aidilfitri Lorong TAR. Foto: Tular.

Walaupun begitu, setiap pengunjung mempunyai alasan tersendiri untuk sanggup bersesak di sana dengan beranggapan kluster bazar Aidilfiti mampu dielakkan jika rakyat menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kakitangan bank, Hazree Izuan Mohd Nor, 34, berkata, dia melihat perkara itu bagus untuk merancakkan ekonomi selain berpuas hati dengan kawalan SOP yang diuruskan oleh penganjur.

Artikel Berkaitan:

Hazree Izuan Mohd Nor Foto: Sinar Harian
Hazree Izuan Mohd Nor Foto: Sinar Harian

"SOP di sini sangat ketat, walaupun perlu beratur lama tetapi tindakan hadkan jumlah pengunjung untuk setiap seksyen sangat tepat.

"Ia membuatkan pengunjung selesa untuk membeli-belah tanpa perlu bersesak dan tempoh operasi dilanjutkan ke jam 2 pagi pula memberikan kami lebih masa untuk membeli keperluan," katanya.

Seorang pensyarah, Nurma Abd Karim, 50, berpandangan, pembukaan bazar Aidilfitri adalah masa dinantikan warga kota setiap kali menjelang Aidilfitri antara sebab kawasan itu meriah dengan pengunjung.

Nurma Abd Karim Foto: Sinar Harian
Nurma Abd Karim Foto: Sinar Harian

"Saya melihat ini adalah peluang buat peniaga mengaut keuntungan selepas berehat tahun lepas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kesesakan itu disebabkan orang KL (Kuala Lumpur) suka membeli-belah pada waktu malam disebabkan pada waktu siang cuaca panas selain ada komitmen bekerja dan urusan lain.

"Namun, saya melihat keadaan adalah terkawal, di luar nampak sesak tetapi di bahagian dalam kedai sangat selesa apabila bilangan pengunjung dihadkan. Saya beratur di luar pun tidak terlalu lama, tak sampai 30 minit pun," katanya.

Mengulas situasi bersesak di bazar Aidilfitri ketika Covid-19 katanya, situasi hampir sama turut berlaku di pusat membeli-belah dan lokasi tumpuan lain.

"Rakyat mungkin rasa tidak adil apabila ada segelintir SOP dilihat berat sebelah seperti layanan terhadap golongan kayangan, isu rentas negeri dan sekatan jalan raya yang dilihat tidak praktikal.

"Pada saya kita kena terima hakikat yang Covid-19 ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Kes harian terus meningkat dan tidak menunjukkan mampu mencapai angka sifar.

"Kita kena teruskan hidup macam biasa dan kena biasakan normal baharu. Soal SOP itu penting, kalau dibuat sekatan tapi SOP tak jaga maka sampai bila-bila Covid-19 tiada berkesudahan," katanya.

Dalam pada itu seorang peniaga, Mohd Fahmi Aidil Mohd Adnan, 20, meluahkan kelegaan dengan sambutan pengunjung yang mula menunjukkan peningkatan pada Sabtu lalu.

Mohd Fahmi Aidil Mohd Adnan Foto: Sinar Harian
Mohd Fahmi Aidil Mohd Adnan Foto: Sinar Harian

"Saya lega apabila pengunjung mulai ramai, masa hari pertama buka memang tak ada orang yang datang, tentulah saya khuatir kerana sudah keluarkan modal yang agak besar untuk membeli barang.

"Lanjutan operasi ke jam 2 pagi juga banyak melegakan kami kerana SOP yang ketat dan sekatan pengunjung menyebabkan masa untuk orang ramai membeli-belah jadi terhad.

"Pengunjung pula lebih selesa membeli pada waktu malam, kami hanya ada masa empat jam untuk menjual kerana biasanya orang datang lepas waktu berbuka, bila ditambah lagi dua jam kami bersyukur sangat. Alhamdulillah," katanya.

Kemeriahan bazar Aidilfitri Lorong TAR pada malam Sabtu lalu. Foto: Sinar Harian
Kemeriahan bazar Aidilfitri Lorong TAR pada malam Sabtu lalu. Foto: Sinar Harian