Cubaan seludup minyak masak paket ke Thailand gagal

PGA Batalion 7 Kuantan turut merampas minyak masak bernilai RM13,124 di pangkalan haram Mat Yeh Jitong, Bukit Lata.
PGA Batalion 7 Kuantan turut merampas minyak masak bernilai RM13,124 di pangkalan haram Mat Yeh Jitong, Bukit Lata.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya menyelamatkan subsidi negara bernilai RM16,592 apabila merampas sebuah lori sarat dengan minyak masak paket yang cuba diseludup ke Thailand, pada Ahad.

Kejayaan pada jam 6.30 petang itu terhasil apabila kedua-dua agensi penguat kuasa negara itu merampas lori berisi 4,148 barangan bersubsidi tersebut di hadapan sebuah premis di Kampung Parit Air, di sini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM166,592.

"Siasatan awal mendapati, kesemua barangan bersubsidi ini akan diseludup menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sekitar kawasan Sungai Golok," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

PGA Batalion 7 Kuantan dan KPDNHEP Kelantan berjaya menyelamatkan subsidi negara apabila merampas sebuah lori sarat dengan minyak masak paket yang cuba diseludup ke Thailand pada Ahad.
PGA Batalion 7 Kuantan dan KPDNHEP Kelantan berjaya menyelamatkan subsidi negara apabila merampas sebuah lori sarat dengan minyak masak paket yang cuba diseludup ke Thailand pada Ahad.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Azhari berkata, semasa serbuan dilakukan PGA dan KPDNHEP Kelantan telah berusaha mengesan pemilik lori berkenaan namun gagal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan itu dilakukan sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan.

Dalam perkembangan lain Azhari berkata, pada hari yang sama pihaknya berjaya merampas 3,281 paket minyak masak yang mahu diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram.

Katanya, rampasan minyak masak bernilai RM13,124 dilakukan di pangkalan haram Mat Yeh Jitong, Bukit Lata pada jam 5.30 petang.