Isu Shahidan Kassim tidak akan reda

No Image Caption
A
A
A

DATUK Seri Shahidan Kassim ialah sosok yang menjadi tumpuan politik semasa negara sekarang.

Apabila beliau dilucutkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis pada Sabtu, Shahidan menerimanya dengan terbuka tetapi dalam nada yang sama enggan menerima pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebagai pengganti.

Sebaliknya, beliau mahu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin menggantikannya.

Beliau dan Zahidi sering berpakat atau bersama untuk menidakkan kepimpinan Azlan.

Ia juga bukanlah pertama kali mereka bersekongkol untuk menentang Azlan. Banyak kali dah.

Zahidi ialah juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Mereka berdua bersatu untuk menyatakan bantahan secara terbuka ke atas pemilihan Azlan.

Azlan pula ialah Ketua UMNO Bahagian Kangar.

Artikel Berkaitan:

Jadi inilah yang menariknya. Perlis cuma mempunyai tiga bahagian sahaja - Arau yang diketuai Shahidan, Padang Besar (Zahidi) dan Kangar (Azlan) tetapi mereka sentiasa bergasak, tidak pernah sekata dan sependapat dalam banyak perkara lebih-lebih lagi dalam soal kepimpinan parti.

Shahidan memberi alasan yang agak konkrit kenapa beliau merasakan Zahidi lebih layak. Pertama Zahidi ialah timbalan pengerusi perhubungan dan yang kedua, pada pandangan Shahidan, Zahidi berjaya memastikan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Padang Besar tidak jatuh ke tangan lawan pada pilihan raya yang lalu.

Namun, itu bukanlah kriteria pucuk pimpinan UMNO kerana secara tradisi dan konvensyen, siapa sahaja yang menyandang jawatan Menteri Besar akan turut diberikan mandat menyandang kerusi pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Tetapi lain halnya di Perlis, bantahan ke atas pelantikan Azlan sebagai ketua perhubungan negeri bukan sahaja berlaku sekarang tetapi sejak era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak lagi.

Biasanya yang berpakat untuk menentang Azlan ini ialah Shahidan dan Zahidi. Dah berapa kali mereka menentang pelantikan Azlan ini kita pun dah hilang perkiraan.

Orang dalam negeri Perlis sendiri sukar hendak faham apa masalah kepimpinan Perlis, inikan pula kita yang berada di luar Perlis.

Ada yang kata ia isu personaliti dan ada yang kata itu soal kepimpinan.

Shahidan merupakan figura yang besar di Perlis. Sebelum kemunculan Azlan, orang hanya tahu Shahidan sahaja. Shahidan ialah Perlis, Perlis ialah Shahidan.

Sejak beliau menggantikan Abdul Hamid Pawanteh sebagai Menteri Besar pada 1995, ia bukanlah kali pertama beliau bertelagah dengan penggantinya.

Pada tahun 2008, apabila beliau digantikan oleh Mat Isa Sabu sebagai Menteri Besar, atas desakan Raja Perlis, hubungannya dengan Mat Isa tidak pernah aman.

Pada 2013, untuk mengelak beliau terus bertelagah dengan kepimpinan negeri, Shahidan berpindah ke kerusi Parlimen. Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perpindahan

Ramai yang ingatkan dengan berpindahnya Shahidan ke pusat, suasana di Perlis akan reda. Sebaliknya tidak, apabila Azlan pula dilantik sebagai Menteri Besar pada tahun yang sama, beliau bertelagah dengan Azlan pula.

Sekali lagi ia berkisar kepada siapa yang patut menerajui negeri dan UMNO negeri.

Kemudian, selepas pilihan raya 2018 yang menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional tumpas di peringkat nasional, Azlan telah dipilih untuk kembali menerajui kepimpinan negeri sebagai Menteri Besar.

Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri mahukan adiknya Datuk Ismail Kassim dilantik sebagai Menteri Besar telah menggunakan kuasanya memecat Azlan sebagai ahli UMNO.

Peluang itu diambil tatkala kepimpinan UMNO di pusat hilang tumpuan dan fokus kerana tewas dalam pilihan raya umum.

Hanya dengan campur tangan istana, kemelut itu menjadi reda. Dan campur tangan UMNO pusat menyaksikan pemecatan Azlan sebagai ahli UMNO diisytiharkan juga sebagai tidak sah.

Kini, Azlan sekali lagi berhadapan dengan krisis yang hampir sama dan dengan nemesis yang sama. Mahu tidak mahu beliau terpaksa berurusan dengan dua orang taiko besar UMNO Perlis ini.

Lagi pun beliau tidak punya banyak pilihan. Negeri sekecil itu, hanya ada tiga bahagian sahaja.

Bayangkan di negeri lain kebanyakan Parlimen hanya ada tiga DUN sahaja tetapi di Perlis walaupun sekecil itu, setiap kawasan Parlimen punyai sehingga lima kerusi DUN. Jika tidak diperbanyakkan kerusi, nak buat sidang dewan pun tak cukup korum.

Namun begitu kecohnya melebihi negeri-negeri lain. Isu Shahidan tidak akan terhenti dengan pelucutan jawatannya.

Beliau akan terus buat bising dan bersuara melainkan presiden UMNO ada keberanian untuk mengambil tindakan lebih drastik. Dan kita semua tahu apa tindakan itu.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian