UMNO minta nasihat RoS, MKN untuk laksana pemilihan parti

Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita selepas selesai mengadakan Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn di sini pada Ahad.
Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita selepas selesai mengadakan Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO bakal menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meminta nasihat serta garis panduan untuk menjalankan pemilihan parti pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, surat berkenaan akan dihantar kepada Ketua Pengarah agensi masing-masing.

Beliau berkata, garis panduan itu selaras dengan peraturan yang termaktub dalam perlembagaan UMNO dan prosedur operasi standard (SOP) Covid.

“Proses pemilihan parti ini akan melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO bagi setiap cawangan termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 66,287 orang.

“Mesyuarat di semua 191 bahagian di seluruh negara juga melibatkan hampir 3.3 juta ahli.

“Justeru dengan adanya garis panduan ini, proses pemilihan parti dapat diadakan dengan berkesan dan lancar mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat,” katanya selepas selesai mengadakan Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan di Menara Dato' Onn di sini pada Ahad.

Sebelum ini, terdapat desakan daripada beberapa pemimpin dan bekas pemimpin parti itu supaya UMNO segera mengadakan pemilihan berkenaan.

Ini bertujuan untuk menyelesaikan krisis kepimpinan dalaman dalam parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, pihaknya turut mendesak kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera bagi menyiasat segala pendedahan dalam buku karangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berjudul 'My Story: Justice in the Wilderness'.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin UMNO hadiri mesyuarat MKT

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat MKT UMNO desak Parlimen kembali bersidang