X

Kindly register in order to view this article
!

Lokasi pencarian mangsa bot terbalik diperluas

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kiri) turun ke laut dengan bot bagi mengesan mangsa, Zulshahmi Danial Zulazman yang masih hilang.
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan memperluaskan lokasi pencarian seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik dipukul ombak di perairan Kuala Besar, Badang pada Jumaat lalu.

Kawasan terlibat seluas 50.45 batu nautika persegi dilakukan bagi mengesan Zulshahmi Danial Zulazman, 26, berbanding 25 batu nautika persegi dari lokasi terakhir bot terbalik.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Carilamat pada jam 7 pagi.

“Carilamat bermula dengan mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Amanah dan bot PSC 35 milik Pasukan Polis Marin (PPM) ke sektor.

“Pencarian pada hari kedua ini melibatkan kawasan seluas 50.45 batu nautika persegi bagi mengesan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Ahad.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kanan) menunjukkan peta kawasan pencarian mangsa yang masih hilang, Zulshahmi.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kanan) menunjukkan peta kawasan pencarian mangsa yang masih hilang, Zulshahmi.

Beliau berkata, operasi diteruskan dalam keadaan cuaca baik iaitu kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam dan ketinggian ombak pada 0.5 hingga 1.0 meter.

“Mangsa dikatakan memakai baju berwarna kelabu serta berseluar pendek berwarna hitam.

“Dia juga dikatakan tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Nur Syam turut mengingatkan orang awam agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“SAR disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), agensi-agensi penyelamat lain selain bantuan nelayan.

“Sebarang maklumat lanjut hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 atau MRSC Kuantan di talian 09-571 7345,” katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Mat Awang, 54 dan Mat Harun Mohd Nor, 55 ditemui selamat oleh bot nelayan dan dibawa ke Jeti Pantai Sabak.

Mereka dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan dilaporkan stabil namun ditahan di wad untuk rawatan susulan.

Pada Jumaat, bot dinaiki mereka terbalik dipukul ribut. Mereka dikatakan bersama 12 lagi pemancing menaiki lima bot dari jeti Kampung Keseng, Kuala Besar jam 5 petang untuk memancing dan mencandat sotong.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua mangsa bot terbalik ditemui


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!