Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja PATI langkah tepat pulih ekonomi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif kerajaan membuka Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini dilihat sangat bertepatan dengan usaha memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Presiden Parti India Muslim Bersatu Malaysia (Iman), Datuk Mohammed Mohsin Abdul Razak berkata, Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dibuka dijangka akan melegakan industri-industri terlibat terutama majikan dalam bidang subsektor perkhidmatan.

Menurutnya, majoriti majikan dalam subsektor perkhidmatan pada saat ini berdepan kerugian bernilai jutaan ringgit susulan kekurangan tenaga kerja asing.

"Cabaran ekonomi global memerlukan semua pihak menjadi sebahagian daripada agenda libat urus bersama kerajaan dengan sektor swasta dan industri-industri terkesan perlu bersepakat dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja ini akan memberi kelegaan dan masa untuk industri terlibat merancang dan menyampaikan satu pelan tenaga kerja yang lebih komprehensif kepada kerajaan.

"Rancangan masa hadapan ini penting agar kebergantungan industri kepada tenaga kerja asing akan berkurangan melalui aspek rancangan latihan kemahiran, bantuan kewangan yang membolehkan kerajaan menaik taraf teknologi serta kajian yang lebih menyeluruh dalam isu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dilaksanakan bermula 16 November 2020 hingga 30 Jun 2021.

Menurutnya, ia diadakan Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi-agensi kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammed Mohsin turut menegaskan semua majikan terlibat perlu mengikuti segala ketetapan kerajaan seperti pengambilan biometrik dan sebagainya bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan program itu.

Selain itu, beliau turut melahirkan penghargaan kepada Hamzah dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang membawa isu serta cabaran dihadapi pengusaha komuniti dalam industri yang memerlukan tenaga kerja asing sejak sekian lama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pelan itu juga membuktikan Muhyiddin seorang pemimpin yang mendengar masalah rakyat dan bertindak dengan penuh berkesan.

"Semoga pengumuman mengenai pelanjutan ini dapat memulihkan kembali ekonomi negara dengan segera akibat kerugian yang besar disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja," katanya.