'Sekarang saya hanya nak mencari kejohanan'

Abdul Latif ketika menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL pada 13 April lalu. - Foto Bernama
Abdul Latif ketika menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL pada 13 April lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KEKURANGAN kejohanan olahraga di dalam dan luar negara susulan pandemik Covid-19 nyata menggusarkan atlet paralimpik negara dalam membuat persiapan menghadapi temasya Sukan Paralimpik Tokyo pada Ogos depan.

Perkara itu dinyatakan atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly yang bakal mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Setakat ini kami tiada masalah dengan sesi latihan, cuma sekarang saya hanya nak mencari kejohanan sebab susah nak dapatkan kejohanan ketika ini.

“Kejohanan dalam Malaysia cuma ada satu tahun ini yang saya sertai iaitu Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia tetapi kejohanan di luar negara masih belum ada setakat ini,” katanya selepas sesi rakaman takbir Raya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama atlet kebangsaan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abdul Latif bersedia dengan sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) menjelang temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 susulan peningkatan drastik kes Covid-19 di negara matahari terbit tersebut.

Pada Rabu, agensi berita Kyodo melaporkan kerajaan Jepun merancang melaksanakan darurat sekali lagi di Tokyo, Osaka dan Hyogo berikutan lonjakan kes COVID-19 sehingga menggugat sistem kesihatan di daerah itu.

Edisi Sukan Paralimpik 2016, Abdul Latif merangkul pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan 7.60 meter (m) yang juga merupakan rekod baharu dunia pada ketika itu.

Artikel Berkaitan: