Jiran cuba selamatkan mangsa kebakaran namun gagal

Rumah mangsa yang ditemui terbakar dalam kejadian pagi Ahad.
Gambar kecil: Nur Muhammad Mustakim dan Noridah
Rumah mangsa yang ditemui terbakar dalam kejadian pagi Ahad. Gambar kecil: Nur Muhammad Mustakim dan Noridah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jiran mangsa kebakaran di Flat PKNS Bandar Tun Razak mendakwa tidak dapat menyelamatkan mangsa kerana pintu rumahnya dikunci dengan selak dari dalam.

Menurut Noridah Maijan, 61, dia menyedari kejadian tersebut selepas mendengar bunyi bising dari luar rumah ketika orang ramai cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Dalam kejadian jam 6.39 pagi itu, mangsa Jasni Ismail, 53 ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan empat unit rumah di Flat PKNS Jalan Tun Razak Kampung Baru pada pagi Ahad.

Mangsa masih bujang dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan, mayatnya ditemui terbaring di atas katil dan terbakar 100 peratus.

Kata Noridah, dia tidak menyedari kebakaran tersebut merebak ke rumahnya yang hanya tiga pintu dari rumah mangsa.

"Selepas sahur saya terlelap sebelum mendengar bising. Pada mulanya saya fikir ada (bergaduh) yang tetapi rupanya mereka cuba membantu membuka pintu rumah arwah.

"Bagaimanapun, ketika membuka pintu rumah, saya mendapati bahagian siling rumah berasap," katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat rumah flat terbakar, seorang lelaki ditemui rentung

Artikel Berkaitan:

Noridah memberitahu, dia mengenali arwah sejak kecil kerana membesar bersama di perumahan tersebut.

" Kali terakhir saya jumpa arwah ketika berbuka puasa semalam (Sabtu). Kami makan bersama di kedai di bawah flat.

"Arwah seorang yang pendiam. Semalam dia berbuka hanya minum air dan ketika mengajaknya makan dia menolak kerana katanya tiada selera makan," katanya.

Seorang lagi jiran mangsa, Nur Muhammad Mustakim Khairul Anuar, 23, berkata, dia cuba membuka pintu hadapan rumah mangsa tetapi gagal.

"Ada juga jiran lain yang cuba masuk dari pintu dapur tetapi semuanya tidak berjaya," katanya.

Nur Muhammad Mustakim yang baru tiga bulan berjiran dengan lelaki itu berkata dia menyedari kejadian itu ketika isterinya bangun dan melihat rumah sudah dipenuhi asap.

" Alhamdulillah kami sempat menyelamatkan diri. Jika tidak mungkin lemas disebabkan asap," katanya.

Menurutnya, lelaki itu tinggal sendirian dan tidak banyak cakap.

"Dia hanya senyum apabila disapa. Dia duduk di rumah tanpa bekalan air dan elektrik sejak empat tahun lalu, mungkin punca kebakaran disebabkan lilin yang digunakan," katanya.