Jawatan Pengerusi UMNO Perlis wajar diberikan kepada Zahidi

Sinar Harian sebelum ini melaporkan jawatan disandang Shahidan Kassim sebelum ini digantikan kepada Datuk Seri Azlan Man dan pertukaran tersebut berkuatkuasa pada Sabtu. Gambar kecil: Zahidi Zainul Abidin
Sinar Harian sebelum ini melaporkan jawatan disandang Shahidan Kassim sebelum ini digantikan kepada Datuk Seri Azlan Man dan pertukaran tersebut berkuatkuasa pada Sabtu. Gambar kecil: Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

PADANG BESAR - Jawatan Pengerusi UMNO Perlis wajar diberikan kepada timbalan, Datuk Zahidi Zainul Abidin apabila Datuk Seri Dr Shahidan Kasim dilucutkan daripada jawatan berkenaan.

Naib Ketua UMNO Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, Zahidi selaku Timbalan Pengerusi UMNO Perlis wajar mengambil tempat Shahidan berdasarkan hierarki dan kesinambungan agenda parti di negeri itu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Padang Besar berkata, pihaknya juga tidak bersetuju dan terkilan dengan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan Shahidan.

Katanya, sikap Ahmad Zahid membuat tindakan tanpa berbincang dan memikirkan kesan kepada politik di Perlis amatlah dikesalkan.

"Pengalaman Shahidan menerajui empat Pilihan Raya Umum (PRU) dan menang dua pertiga kerusi tidak boleh dipandang enteng, sekali gus keputusan berkenaan membawa kerugian yang amat besar kepada UMNO Perlis.

"Di saat UMNO menerima banyak tekanan luar dan PRU yang semakin hampir, Presiden UMNO masih lagi mempertahan ego untuk membuat rombakan kepimpinan UMNO Perlis," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Noor Hairi, sifat tidak boleh menerima perbezaan pandangan dan menggunakan kuasa untuk memecat pasti akan merosakkan parti dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya dengan rasa rendah diri merasakan sudah tiba masanya agar Ahmad Zahid berundur secara terhormat dengan mempercepatkan pemilihan parti atau Presiden UMNO itu mengambil keputusan 'bercuti' seperti pernah dilakukan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai seorang yang berjiwa besar, sepatutnya Presiden menumpukan sepenuhnya perhatian kepada kes-kes beliau yang masih lagi berjalan di mahkamah demi memulihkan kembali keyakinan rakyat pada UMNO," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Azlan dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Shahidan terima keputusan bukan lagi Pengerusi UMNO Perlis