Maszlee gesa kerajaan segera beri 150,000 komputer riba

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menyegerakan pemberian 150,000 komputer riba yang telah diluluskan dalam belanjawan tempoh hari.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, pemberian itu perlu kepada keluarga B40 dan anak-anak guru di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara terutama Kelantan.

“Kita sedar bahawa terdapat negeri-negeri yang terpaksa menjalani PKP dan sesetengah kawasan di dalamnya pula terpaksa dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Situasi ini memaksa sekolah untuk ditutup. Seperti sebelum ini, anak-anak dari keluarga B40 dan pedalaman akan menghadapi gangguan pembelajaran.

“Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan tidak bererti apabila ramai di antara keluarga B40 yang tidak mempunyai peranti yang cukup,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan berkata, sekolah yang disahkan mempunyai satu kes Covid-19 akan ditutup sekurang-kurangnya dua hari.

Hang Soon berkata, pelajar yang terjejas ekoran penutupan tersebut akan beralih ke pembelajaran dalam talian sehingga kelas fizikal disambung semula.

Sementara itu, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan turut menggesa agar insentif khas diberikan kepada guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan PdPR sepanjang tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

“Bagi para guru, sekali lagi mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membeli peranti tambahan bagi anak-anak mereka yang juga terpaksa mengikuti PdPR.

“Mereka juga terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membeli data tambahan. Dalam sesetengah keadaan yang tiada capaian internet, mereka terpaksa mengedarkan latihan dan kertas aktiviti untuk kegunaan murid menggunakan duit mereka sendiri,” katanya.

Beliau turut menggesa agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKKM) segera bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk memastikan kawasan yang tiada atau lemah capaian internet disegerakan kemasukan infrastruktur.

“Ia bagi membolehkan murid dan guru menikmati capaian internet untuk tujuan PdPR.

“Tindakan proaktif dan segera mestilah dilakukan demi mengelakkan anak-anak dari keluarga miskin terus tercicir dari pelajaran mereka,” jelasnya.