KPM diminta segera kemuka pelan sokongan pembelajaran

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengemukakan atau menghebahkan kepada umum mengenai pelan sokongan pembelajaran ketika banyak sekolah terutama di Kelantan ditutup akibat penularan Covid-19.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai, Nor Akmal Mohamed berkata, pelan sokongan itu perlu disegerakan supaya guru dan ibu bapa boleh bersedia untuk menyediakan keperluan kepada murid berdasarkan kaedah dirancang oleh KPM.

Beliau berkata, sebelum ini beberapa langkah pengajaran dan pembelajaran yang dibuat KPM ketika berdepan isu penutupan sekolah dibuat secara mengejut sehingga menimbulkan kesulitan kepada pihak sekolah serta ibu bapa.

"KPM sudah berpengalaman berdepan dengan situasi penutupan sekolah akibat penularan Covid-19. Jadi Puteri UMNO berpendapat KPM perlu segera menghebahkan apakah pelan sokongan pengajaran dan pembelajaran yang akan dibuat supaya tidak timbul sebarang masalah berbangkit.

"Jika KPM bercadang mahu menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti sebelum ini, kerajaan perlu memastikan isu berkaitan sebelum ini seperti kekangan gajet dan internet yang dihadapi ibu bapa perlu diatasi segera," katanya ketika ditemui selepas program Shopping Raya dan Iftar Bersama Anak-Anak Yatim di sini pada Sabtu.

Program anjuran bersama Muafakat Pendidikan Johor, Mentari Pulai, Puteri UMNO Bahagian Pulai, Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau), Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Me'didik), Kelab dan C’dert Bikers Johor itu menyantuni seramai 65 orang anak yatim daripada Asrama Kebajikan Ar-Rayan.

Sementara itu, Nor Akmal berkata, Puteri UMNO Bahagian Pulai bersetuju dengan pandangan beberapa tokoh akademik yang menegaskan bahawa KPM tidak boleh mengulangi tindakan penutupan sekolah kerana akan menjejaskan pembelajaran murid terutama dari keluarga B40.

Jelas beliau, KPM perlu memilih alternatif terbaik untuk memastikan proses pembelajaran pelajar tidak terbantut biarpun berdepan dengan isu penutupan sekolah dan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan: