X

Kindly register in order to view this article
!

Kelonggaran pekerja Malaysia divaksin di Singapura pulang sambut raya diteliti

Gambar hiasan.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kelonggaran untuk membenarkan rakyat Malaysia di Singapura yang telah divaksin pulang ke negara terutama bagi menyambut perayaan Aidilfitri sedang diteliti.

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, kelonggaran ini termasuklah dengan menyediakan pas laluan hijau khas buat mereka yang terlibat.

“Ya, ini adalah antara perkara yang hendak disusun... pekerja-pekerja yang terlibat dan selamat divaksin mungkin kita akan beri pas laluan hijau khas untuk mereka.

“Perkara ini kita kena duduk berunding dan perhalusi dalam kategori kluster yang patut dan boleh diberi kelonggaran,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Program Ziarah Kasih sempena Ihya Ramadhan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) di sini pada Ahad.

Mohd Izhar berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kelonggaran diberi terhadap pekerja Malaysia yang telah divaksin di Singapura untuk pulang ke negara bagi menyambut Aidilfitri.

Menurut beliau, keperluan vaksinasi adalah antara syarat yang dipersetujui kerajaan Malaysia dan Singapura dalam rundingan untuk membuka semula pintu sempadan dan justeru itu, Johor akan mengikutinya.

“Kita diminta agar semua rakyat kita divaksin. Jadi Johor akan mengambil langkah proaktif untuk segerakan proses vaksinasi bagi membolehkan kebenaran persetujuan pembukaan pintu sempadan dengan Singapura tercapai," katanya.

Beliau juga berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong dijangka mengadakan perbincangan mengenai perkara itu pada awal bulan depan.

Pada program berkenaan, sebanyak 500 bakul makanan diedarkan kepada 500 penerima yang memerlukan merangkumi empat daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Pontian. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!