X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan manipulasi gambar majikan tidak bergari: Polis

Mohamad Zainal Abdullah - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Polis menggesa orang ramai tidak memanipulasi isu gambar majikan didakwa memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa yang dibawa ke mahkamah tanpa bergari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketika itu, suspek bukan dalam tahanan polis dan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk tujuan pertuduhan.

"Suspek sudah diberi jaminan polis sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

“Maka kita tidak boleh menangkap semula dan menggari beliau atas kesalahan yang sama hanya semata-mata untuk tujuan dibawa ke mahkamah," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Majikan pukul 'bodyguard' ditangkap semula bagi kes AMLATFPUAA

Mohamad Zainal menegaskan tidak timbul isu suspek mendapat layanan istimewa.

"Undang-undang telah menetapkan sedemikian bahawa tiada siapa yang boleh ditangkap atas kesalahan yang sama sepertimana yang termaktub di bawah artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai suspek tidak memakai baju lokap ketika dibawa ke mahkamah.

"Kita telah mematuhi prosedur ditetapkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118 iaitu apabila banduan dibawa ke mahkamah hendaklah memakai pakaian dipakai semasa ditahan melainkan pakaian itu dijadikan barang kes," katanya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan ahli perniagaan yang sebelum ini didakwa memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya dengan menggunakan pistol sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Chung Chee Yang, 43, yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja-T biru dan seluar putih didakwa atas empat pertuduhan mencederakan kedua-dua mangsa yang kini bekas pekerjanya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja empat pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhamad Fared Abdul Latif.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!