Padah langgar syarat lesen

Bot nelayan tempatan kelas B ditahan kerana melanggar syarat lesen iaitu menunda kurang dari 5 batu nautika.
Bot nelayan tempatan kelas B ditahan kerana melanggar syarat lesen iaitu menunda kurang dari 5 batu nautika.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menahan seorang tekong dan awak-awak serta merampas sebuah bot kelas B kerana melanggar syarat sah lesen.

Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot tunda terbabit ditahan lebih kurang 4.2 batu nautika dari barat daya Pulau Ketam, pada jam 11.45 pagi semalam.

“Bot Maritim digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat daripada orang awam terdapat sebuah bot nelayan telah menunda lebih kurang 5 batu nautika dari Pulau Ketam.

“Tiba di lokasi, kita mendapati sebuah bot kelas B sedang leka menangkap ikan tanpa menyedari kehadiran anggota penguatkuasa Maritim.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati, seorang tekong dan awak-awak tempatan berusia 51 dan 38 tahun bekerja di atas bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, bot dan tekong serta awak-awak terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menunda kurang dari 5 batu nautika.

Sehubungan itu, beliau berkata, Maritim Selangor akan terus mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah di perairan pulau pelancongan itu.

Artikel Berkaitan: