Pelantikan Azlan buka lembaran baharu politik Perlis: Syed Atif

Gambar dari kiri: Azlan Man, Shahidan Kassim
Gambar dari kiri: Azlan Man, Shahidan Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dapat membuka lembaran baharu dalam lapangan politik di negeri berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar turut berharap pelantikan itu juga dapat memantapkan penyelarasan gerak kerja politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) Perlis.

Menurutnya, gerak kerja politik dan pentadbiran di Perlis sejak sekian lama berada di dalam keadaan dilema disebabkan permasalahan berkaitan dengan adanya dua nakhoda yang mengemudi sebuah kapal.

"Pelantikan ini diharapkan dapat membuka lembaran baharu dalam lapangan politik Perlis khususnya di peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri.

"Pergerakan ini juga menyanjung tinggi komitmen dan kesungguhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa pembaharuan positif untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan rasmi parti itu memaklumkan Azlan Man menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu.

Syed Atif berkata, pembaharuan dilakukan adalah bertepatan dalam suasana politik dan ekonomi negara yang semakin goyah disebabkan keangkuhan, penting diri dan ketidakpedulian kerajaan pada hari ini.

Menurutnya, ketegasan pucuk pimpinan parti dalam percaturan politik parti berkenaan juga dapat mengelakkan risiko kebocoran maklumat dan strategi parti juga amatlah bertepatan dan kena pada masanya.

Artikel Berkaitan:

"Besarlah jua harapan pergerakan ini agar seluruh ahli-ahli dan penyokong UMNO di Perlis terus istiqamah dalam perjuangan serta bersiap-sedia untuk mengharungi lembaran baharu perjuangan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan UMNO Perlis juga tidak ketandusan pemimpin dan setiap pemimpin sudah tentunya mempunyai corak kepimpinan yang tersendiri.

"Justeru, sebagai sebuah parti besar yang dominan, UMNO Perlis tidak boleh bersikap statik dan selama-lamanya hanya bergantung kepada seorang individu untuk memimpin, seolah-olah orang lain semuanya tak layak.

"Terima kasih kepada presiden (UMNO). Terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim dan tahniah juga kepada Datuk Seri Azlan Man," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Shahidan terima keputusan bukan lagi Pengerusi UMNO Perlis

Azlan dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis baharu