TFC tetap merendah diri walau berjaya lebur rekod JDT

Pemain TFC meraikan jaringan Mohamad Hakimi selepas tonggak muda berusia 21 tahun tersebut meledak gol untuk skuad Penyu dalam aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - Foto Terengganu FC
Pemain TFC meraikan jaringan Mohamad Hakimi selepas tonggak muda berusia 21 tahun tersebut meledak gol untuk skuad Penyu dalam aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - Foto Terengganu FC
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain enggan terlalu mendabik dada dengan kemenangan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, sebaliknya menegaskan mereka hanya bernasib baik kerana ketiadaan dua tonggak penting dalam lawan.

Beliau berkata, berdepan dengan skuad Harimau Selatan bukan mudah kerana mereka mempunyai prestasi cemerlang di gelanggang sendiri.

“Pada awalnya kita bimbang kerana David Da Silva belum sembuh daripada kecederaan dan cergas 100 peratus, namun ketiadaan pemain pertahanan JDT, Mauricio Nascimento dan S. Kunanlan memberi sedikit kelebihan kepada TFC dalam merencanakan gerakan serangan.

“Saya faham bukan senang untuk menang pada perlawanan ini tetapi syukur kita telah mendapat tiga mata penuh untuk mengekalkan kedudukan di tempat kedua liga,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan itu di sini pada Sabtu.

Dalam perlawanan berkenaan, pemain tengah berusia 21 tahun Mohamad Hakimi Abdullah muncul sebagai wira skuad Penyu menjaringkan gol tunggal pada minit ke-57 bagi memastikan pasukannya pulang dengan tiga mata untuk kekal menghuni tangga kedua.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Benjamin Mora mengakui terkilan dengan keputusan itu memandangkan anak buahnya menerima terlalu banyak peluang keemasan untuk menjaringkan gol sepanjang 90 minit perlawanan dan enam minit masa tambahan.

Bagaimanapun, beliau yang memiliki pengalaman luas melatih beberapa kelab di Mexico tetap memuji pencapaian JDT yang belum pernah tewas dalam sembilan perlawanan sebelum ini dengan menyifatkan ia pencapaian luar biasa dan mustahil untuk dicapai mana-mana pasukan lain.

"Kita tidak pernah kalah selama hampir dua tahun, sedih dan saya minta maaf bukan sahaja kepada pihak pegurusan tetapi juga peminat.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi ini adalah bola sepak...sentiasa ada kemungkinan sama ada menang, kalah atau seri. Ya, kita tidak gembira dengan keputusan itu tetapi jangan risau kita akan dapatkan semula momentum kemenangan itu,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir TFC mencatatkan kemenangan ke atas JDT adalah ketika kempen Piala Malaysia pada Oktober 2018, manakala pertemuan selepas itu menyaksikan keputusan terikat sebanyak tiga kali dan JDT menang sebanyak tiga kali.