Pengurus syarikat, penjawat awam ditahan SPRM

Suspek yang ditahan SPRM.
A
A

SEGAMAT - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat menahan seorang pengurus syarikat dan seorang penjawat awam kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan dijalankan mendapati kedua-dua suspek bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM7,200.

Tuntutan palsu itu dikemukakan kepada Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak berkaitan satu program Kursus Pengurusan Organisasi Efektif yang mana ia tidak dilaksanakan.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an terdiri daripada seorang pengurus syarikat dan seorang Penolong Pegawai Tadbir yang bertugas di ILP Tangkak.

Mereka ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Segamat kira-kira jam 2.30 petang, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan Mahkamah Sesyen Segamat telah membenarkan tempoh tahanan reman selama lima hari terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini.