Semuka lebih efektif berbanding PdPR

PdPR dilihat cukup baik bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan tinggi, namun untuk golongan sederhana dan rendah ia satu bebanan. Gambar kecil dari kiri: Mohd Firdaus, Abdul Kadir, Mohamad Aswady
PdPR dilihat cukup baik bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan tinggi, namun untuk golongan sederhana dan rendah ia satu bebanan. Gambar kecil dari kiri: Mohd Firdaus, Abdul Kadir, Mohamad Aswady
A
A
A

KOTA BHARU - Penutupan secara ‘berkala’ sekolah susulan peningkatan Covid-19 dilihat bersifat ‘menang-menang’ dalam memutuskan penularan jangkitan pandemik itu.

Bagaimanapun, langkah itu dilihat boleh memberi impak negatif kepada institusi pendidikan negara walaupun kerajaan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

PdPR dilihat cukup baik bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan tinggi, namun untuk golongan sederhana dan rendah ia satu bebanan kerana mereka perlu mengeluarkan belanja bagi membeli gajet untuk menghadiri kelas yang diadakan secara dalam talian.

Memburukkan lagi keadaan, ada dalam kalangan anak-anak golongan sederhana dan rendah berdepan masalah capaian internet rendah terutama di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Justeru, ada ibu bapa berpandangan mereka lebih ‘selesa’ pembelajaran dilakukan secara bersemuka menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) walaupun terpaksa berdepan ancaman Covid-19.

Bagi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Susu, Pasir Mas, Abdul Kadir Ibrahim mengakui pembelajaran secara bersemuka lebih efektif dan sesuai dalam melonjakkan lagi potensi pelajar.

“Bila pembelajaran secara bersemuka, pelajar lebih fokus dan guru dapat membuat pemerhatian jika ada dalam kalangan anak didiknya yang tidak faham berkait dengan satu-satu subjek,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang jika sekolah berterusan ditutup ia boleh membantutkan usaha melahirkan pelajar yang berkualiti.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rata-rata pelajar dilihat kurang berminat untuk memberikan tumpuan ketika sesi PdPR berlangsung.

Seorang bapa, Mohamad Aswady Adenan, 40, berkata, sesi persekolahan perlu diteruskan apabila situasi Covid-19 kembali terkawal dengan menggunapakai kaedah penggiliran.

“Wajibkan pelajar Darjah Enam, Tingkatan Tiga, Tingkatan Lima dan pra-universiti sahaja perlu datang ke sekolah setiap hari.

“Selebihnya bergilir-gilir mengikut hari, kaedah ini dilihat lebih efektif kerana ia mampu mengelakkan pelajar berkumpul secara beramai-ramai dalam satu-satu masa,” katanya.

Menurutnya, selain itu ia membolehkan pematuhan SOP berjalan dengan baik.

Sementara itu, Mohd Firdaus Mohd, 40, berkata, sesi persekolahan sesuai dilaksanakan jika masa dipendekkan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dengan mengamalkan SOP yang ketat.

Katanya, dalam suasana hari ini seluruh rakyat perlu menerima kenyataan apabila terpaksa hidup bersama Covid-19.

“Kementerian perlu merangka garis panduan yang terperinci bagi memastikan tahap keselamatan serta pematuhan SOP di sekolah dapat dipatuhi oleh semua pihak,” katanya.