Pengurusan kewangan makin gawat

No Image Caption
A
A
A

BEBERAPA peristiwa penting dalam ekonomi dan kewangan dilaporkan berlaku minggu ini yang akan memberi kesan semasa dan jangka panjang kepada negara.

Paling kontroversi dan dikecam hebat adalah tindakan kerajaan menggunakan darurat bagi menyeluk tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), kononnya untuk membiayai program vaksinasi Covid-19.

Daripada pelbagai kenyataan yang dilaporkan media massa arus perdana dan sembang media sosial, inilah kali pertama duit tabung masa depan negara itu digunakan.

KWAN diperbadankan pada 1988 ketika pemerintahan pusingan pertama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Sejak itu, duit tabung itu tidak pernah disentuh.

Ia memperoleh dana daripada Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas. Tujuannya untuk digunakan apabila hasil daripada sumber alam, khususnya petroleum dan gas berkurang atau habis langsung.

Tidak banyak diketahui mengenai nilai harta tabung itu tetapi laporan Parlimen menyatakan pada 2016, ia mempunyai aset berjumlah RM16.4 bilion.

Tindakan menyelongkar KWAN amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran seolah-olah kerajaan sudah kehabisan wang dan tiada cara lain lagi bagi membiayai keperluan negara.

Ketidaktentuan seperti ini tentu tidak berlaku sekiranya darurat tidak diisytiharkan dan Parlimen tidak digantung. Urusan kewangan negara yang besar dan penting seperti ini tentulah dibangkitkan dan dibahas secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

Tetapi sekarang urusan ini hanya berkisar antara Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz fikir macam mana hendak cari duit dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Yang menimbulkan persoalan dan bantahan adalah tindakan menyeluk tabung KWAN berlaku serentak dengan kerajaan mengumumkan kejayaan gemilang meminjam AS$1.3 bilion (RM5.33 bilion) daripada pasaran kewangan antarabangsa.

Sebanyak AS$800 juta (RM3.3 bilion) diperoleh melalui penjualan bon syariah (sukuk) dengan tempoh matang 10 tahun dan AS$500 juta (RM2.05 bilion) lagi dengan tempoh matang 30 tahun.

Tengku Zafrul berkata, beliau amat berpuas hati dengan keyakinan pelabur yang membeli bon kerajaan itu sehingga permintaan ke atasnya lebih 6.4 kali ganda.

Tengku Zafrul bangga tetapi dalam masa 10 hingga 30 tahun akan datang, yang tanggung beban hutang ini adalah rakyat yang membayar cukai.

Katanya, kejayaan meminjam itu adalah bukti keyakinan pasaran kewangan terhadap prospeks pemulihan ekonomi Malaysia.

Masalahnya, Tengku Zafrul boleh buat apa saja ramalan kerana beliau mungkin bukan Menteri Kewangan lagi apabila kesan sebenar hutang ini mula dirasai rakyat.

Satu lagi perkembangan mendukacitakan adalah penjualan tanah seluas 6.6 ekar di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur oleh Boustead Holdings Berhad kepada Sunway Berhad dengan bayaran RM233.4 juta tunai.

Boustead Holdings ialah syarikat induk di bawah kawalan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), manakala Sunway Berhad adalah syarikat konglomerat di bawah kawalan Tan Sri Jeffrey Cheah.

Boustead berkata, ia menjual tanah itu bagi mengukuhkan kedudukan tunai dan pembiayaannya. Penjualan itu akan menghasilkan pendapatan bersih RM213.8 juta. Duit itu akan digunakan untuk membayar balik hutang bank dan bakinya sebagai modal.

LTAT adalah antara tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang dikenal pasti mengalami masalah kewangan yang runcing hasil audit bebas ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Beberapa perubahan telah dilakukan melibatkan pelantikan lembaga pengarah dan pengurusan kanan baharu, penyusunan semula perniagaan dan tindakan undang-undang terhadap pengurusan lama.

Samalah dengan hutang kerajaan yang mengambil masa panjang dan kos tinggi untuk dilangsaikan akibat kerosakan GLIC dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berpunca daripada manipulasi politik dan kecurangan pengurusan.

Sebab itulah kerajaan yang sah, cekap dan bertanggungjawab sangat-sangat diperlukan bagi meneruskan proses pemulihan ini. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara