Sejarah kapal selam Indonesia

Gambar fail menunjukkan kru kapal selam KRI Nanggala-402 bergambar beramai-ramai sebelum ia dilaporkan hilang di luar pantai Bali, Indonesia pada Rabu lalu.
Gambar fail menunjukkan kru kapal selam KRI Nanggala-402 bergambar beramai-ramai sebelum ia dilaporkan hilang di luar pantai Bali, Indonesia pada Rabu lalu.
A
A
A

TENTERA Laut Indonesia menggunakan dua buah kapal selam buatan Kesatuan Soviet pada tahun 1959 ketika zaman pemerintahan Presiden pertama negara itu, Sukarno selepas lebih 10 tahun memperoleh kemerdekaan daripada penjajahan Belanda pada tahun 1945.

Sebagai persediaan, lebih 100 anggota tentera terbaiknya dihantar ke Gdansk, Poland untuk belajar cara-cara mengoperasikan kapal selam dan diberikan tunjuk ajar oleh askar-askar Kesatuan Soviet yang kini dikenali sebagai Rusia selama sembilan bulan.

Latihan turut dibuat di Laut Baltik di Eropah sebelum mereka dihantar ke Vladivostok, Rusia bagi membantu mengendalikan dua kapal selam kelas Whiskey untuk dihantar pulang ke tanah air sebelum digunakan secara rasmi pada 12 September 1959 oleh Tentera Indonesia.

Sebanyak 10 kapal selam baharu daripada model Whiskey kemudian dibeli lagi oleh kerajaan Indonesia dan askar-askar Indonesia mendapat latihan di Vladivostok yang menempatkan sebuah pangkalan kapal selam terbesar milik Moscow di rantau Pasifik.

Kapal selam model itu yang dianggap terbaik pada tahun 1960-an dan boleh melancarkan tembakan torpedo digunakan dalam Operasi Trikora untuk membebaskan wilayah Papua Barat yang kini dikenali sebagai Irian Jaya daripada penjajahan Belanda.

Menurut seorang pegawai tinggi Tentera Laut Indonesia, Laksamana Pertama Manahan Simorangkir seperti dilaporkan oleh portal berita Tempo.com pada Disember 2014, kapal selam model itu tidak mempunyai tandas dan kamar mandi serta tidak dilengkapi sistem pendingin hawa.

Sebanyak empat lagi kapal selam model itu tiba di Indonesia pada tahun 1961 dan kira-kira setahun selepas itu, sebanyak enam lagi kapal selam model tersebut digunakan oleh tentera negara itu dengan dilengkapi tembakan torpedo jenis SEAT-50.

Tentera Laut Indonesia tidak lagi menggunakan semua kapal selam tersebut yang menggunakan kuasa diesel elektrik itu.

Artikel Berkaitan:

Kapal selam KRI Nagapasa 403 dibina di Kejuruteraan Marin & Pembinaan Kapal Daewoo, Korea Selatan dan mula digunakan pada Ogos 2017.
Kapal selam KRI Nagapasa 403 dibina di Kejuruteraan Marin & Pembinaan Kapal Daewoo, Korea Selatan dan mula digunakan pada Ogos 2017.

Seorang wartawan kanan di Indonesia, Atmadji Sumarkidjo dalam bukunya Mission Accomplished terbitan tahun 2010 berkata, sebanyak 12 kapal selama model Whiskey itu bukan kapal selam baharu.

Namun, tentera laut negara itu kini mempunyai lima buah kapal selam termasuk yang hilang kira-kira 95 kilometer ke utara perairan Bali pada jam 4.25 pagi (waktu tempatan) ketika menyertai satu latihan tembakan torpedo dan dinaiki oleh 53 kru pada Rabu lalu.

Kapal selam KRI Nanggala-402 yang hilang itu telah digunakan hampir 40 tahun adalah buatan Jerman Barat kini dikenali sebagai Jerman pada Oktober 1981 selepas ditempah pada tahun 1978.

Berdasarkan spesifikasi kapal selam itu, ia mempunyai berat 1,395 tan dan kelajuan 21.5 knot dan boleh membawa sebanyak 34 anak kapal serta mampu untuk menghadapi tekanan ketika berada pada kedalaman sehingga 250 meter.

Kapal selam itu juga dibaik pulih di Jerman pada tahun 1989 dan dinaik taraf di Korea Selatan pada tahun 2012.

Insiden kehilangan kapal selam itu adalah yang pertama berlaku dalam sejarah Indonesia selepas ia juga menjadi negara pertama di Asia Tenggara membina kapal selamnya sendiri iaitu KRI Alugoro-405.

Indonesia mempunyai sebuah lagi kapal selam yang mempunyai model sama iaitu KRI Cakra 401 dan dibuat pada akhir 1970-an.

Tentera laut negara itu juga kini mempunyai sebuah lagi kapal selam iaitu KRI Nagapasa-403 yang dibina di Kejuruteraan Marin & Pembinaan Kapal Daewoo, Korea Selatan dan mula digunakan pada Ogos 2017.

Majlis serah tugas kapal selam buatan Indonesia dengan kerjasama Korea pada Mac lalu.
Majlis serah tugas kapal selam buatan Indonesia dengan kerjasama Korea pada Mac lalu.

Ia berukuran sepanjang 61.3 meter dan boleh bergerak selaju 21 knot di dalam air selain mampu belayar lebih daripada 50 hari dan membawa 40 kru dan dilengkapi dengan kemudahan menembak torpedo.

Kapal selam keempat juga dibina di Kejuruteraan Marin & Pembinaan Kapal Daewoo, Korea Selatan iaitu KRI Ardadedali dan boleh melancarkan tembakan torpedo.

Ia tiba di Dermaga Kapal Selam Koarmada II Ujung, Surabaya, Jawa Timur dari Korea Selatan pada 17 Mei 2018.

Panjang kapal selam berkuasa diesel-elektrik itu ialah 61.3 meter dan dapat membawa 40 kru.

Kapal selam terbaharu dan kelima dalam Tentera Laut Indonesia ialah KRI Alugoro-405 yang dibina di Indonesia.

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto merasmikan majlis serah terima kapal tersebut pada 17 Mac lalu yang didakwa memiliki teknologi paling canggih dan baharu serta boleh digunakan dalam peperangan di bawah permukaan laut.

Kapal selam dibina oleh firma PT PAL Indonesia dengan kerjasama Kejuruteraan Marin & Pembinaan Kapal Daewoo, Korea Selatan dan berukuran 61.3 meter panjang dengan kelajuan maksima 21 knot di dalam air.

Ia merupakan kategori kapal selam diesel elektrik dan dapat membawa 40 kru dan dapat menyelam serta menjelajah lautan selama 50 hari.