Bukan Hadi elak jawab wartawan, tapi...

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengelakkan diri daripada bertemu dengan media bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mahu menjaga akhlak dan adab berjemaah.

Menurut Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman, Ahli Parlimen Marang itu mahu menjawab segala persoalan berhubung pendedahan Dr Mahathir kepada pimpinan Pas terlebih dahulu.

“Mengapa Tuan Guru (Hadi Awang) tidak menjawab soalan wartawan semalam, walaupun Tuan Guru boleh menjawabnya, adalah kerana Tuan Guru mahu menjelaskan kepada pimpinan tertinggi parti di dalam mesyuarat hari ini (semalam).

ARTIKEL BERKAITAN: Hadi mengelak ditemubual media

“Inilah akhlak dan adab berjemaah yang ditunjukkan oleh Tuan Guru,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Kelmarin, Abdul Hadi mengelakkan diri daripada ditemubual media bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Dr Mahathir bahawa Pas tidak akan membantu UMNO dalam PRK Semenyih selepas menghadiri Majlis Ijtimak Siber Malaysia, di Chukai.

Abdul Hadi yang tiba di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) jam 4 petang itu kemudiannya memberi ucapan Perasmian Penutup kepada kira-kira 2,000 peserta yang hadir.

Bagaimanapun, sebaik majlis selesai, Abdul Hadi yang dikawal oleh beberapa individu berpakaian pengawal peribadi terus meninggalkan pekarangan dewan dengan menaiki kenderaan utiliti sukan, Nissan Xtrail.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Abdul Hadi dalam satu sidang media di Terengganu dilaporkan berkata, pertemuannya dengan Perdana Menteri adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Jelasnya, pertemuan itu turut menyentuh mengenai Wang Tunai Petroleum (WTP), Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan.

Abdul Hadi turut menyifatkan pertemuan itu mendapat reaksi positif Dr Mahathir.