Rejim Zionis bedil 36 roket ke Genting Gaza

Penduduk Palestin di bandar Gaza berarak sambil melaungkan slogan mengutuk insiden pertempuran di Baitulmaqdis. - Foto AFP
Penduduk Palestin di bandar Gaza berarak sambil melaungkan slogan mengutuk insiden pertempuran di Baitulmaqdis. - Foto AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Jet pejuang Israel membedil Genting Gaza pada awal pagi Sabtu selepas insiden pertempuran antara penduduk Palestin dan polis rejim Zionis tercetus selama dua malam berturut-turut di Baitulmaqdis Timur sejak Khamis.

Kira-kira 36 roket dilancarkan ke atas wilayah Gaza selepas gerakan Hamas menzahirkan sokongan terhadap protes di Baitulmaqdis.

Amerika Syarikat (AS) turut menyuarakan kebimbangan dengan insiden keganasan terbaharu itu manakala Kesatuan Eropah (EU) menggesa pihak bertelagah supaya meredakan konflik tersebut yang jelas mencemari kesucian Ramadan.

Washington yang kini mengambil pendekatan lebih adil terhadap konflik Israel-Palestin sejak Presiden Joe Biden mengambil alih Rumah Putih menggesa 'perpaduan dan semua pihak bertenang'.

"Retorik pelampau Yahudi yang melaungkan slogan kebencian wajar ditolak dengan tegas," kata jurucakap Jabatan Negara, Ned Price.

Ketegangan semakin meningkat di Baitulmaqdis Timur selepas pihak berkuasa rejim Zionis menyekat akses ke beberapa kawasan di Kota Lama terbabit yang biasanya menjadi tempat penduduk Palestin berkumpul ketika Ramadan.

Pada Khamis, kira-kira 125 cedera selepas pelampau Yahudi melaungkan slogan provokasi hingga membangkitkan kemarahan penduduk Palestin hingga mencetuskan pertempuran ganas.

Sejak ketibaan Ramadan pada 13 April lalu, pihak berkuasa rejim Zionis sengaja membangkitkan kemarahan penduduk Palestin apabila ia bertindak menyekat akses kepada golongan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, konflik mula memuncak di Baitulmaqdis selepas siri video yang dikongsi di media sosial sejak beberapa hari lalu menunjukkan perbuatan biadab pelampau Yahudi membuli penduduk Arab. - AFP