X

Kindly register in order to view this article
!

Polis tahan 75 migran naik dua kapal dari Filipina

A
A

SANDAKAN - Seramai 75 migran dipercayai datang dari Filipina dengan menggunakan dua buah kapal ditahan kerana menceroboh perairan negara melalui 'laluan tikus' atau tidak sah dekat sini, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, cubaan mereka itu berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan yang melaksanakan Operasi Benteng di perairan Pulau Berhala, kira-kira 8km dari sini pada 2.30 pagi semalam.

Beliau berkata, seramai 64 migran yang ditahan termasuk dua juragan kapal tersebut bukan warganegara Malaysia manakala 11 lagi migran mempunyai MyKad, dan ujian saringan Covid-19 dijalankan ke atas mereka didapati negatif.

"Dua juragan lelaki itu masing-masing berumur 25 dan 55 tahun, manakala 73 migran lagi dalam lingkungan umur sehingga 76 tahun termasuk lapan kanak-kanak disyaki cuba menyeludup masuk ke Sandakan.

"Dua kapal ini bergerak beriringan dipercayai dari Pulau Tabawan, Filipina menuju ke Sandakan melalui laluan tidak sah...turut dirampas wang tunai 109,940 Peso Filipina (RM9,363.50) daripada dua juragan itu, dipercayai kos pengangkutan migran terbabit," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Mohd Azhar berkata, dua juragan itu direman 28 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Katanya, dua juragan itu turut disiasat bersama 62 migran lain yang bukan warganegara Malaysia masing-masing direman 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/53 kerana memasuki negara ini tanpa memiliki pas yang sah.

Beliau berkata, 11 lagi yang memiliki MyKad masing-masing direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1969/53 kerana memasuki negara ini melalui tempat yang tidak dibenarkan atau tidak sah.

Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pertalian darah antara warga asing, khususnya dari Filipina dan penduduk tempatan di Sandakan antara faktor pendatang dari negara jiran itu berani menceroboh sempadan negara.

Atas dasar itu, beliau berkata, ramai yang beranggapan mereka boleh masuk dan keluar perairan negara dengan sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan undang-undang di negara ini.

"Kebanyakan mereka mempunyai saudara-mara di sini (Sandakan) dan beranggapan dunia ini tanpa sempadan, senang masuk dan keluar (perairan negara)...PPM sentiasa melaksanakan rondaan di perairan bagi memastikan daerah Sandakan ini tidak mudah diceroboh warga asing," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!