M-Quit bantu henti tabiat merokok

Haliza (lima,kanan) bersama Khairun (enam,kanan) ketika bersama-sama menjamu Yee Sang pada majlis berkenaan.
A
A

JOHOR BAHRU - Mengambil kira sensitiviti sosial dan aspek kesihatan, Hospital Pakar KPJ Puteri kini menganjurkan program khas M-Quit untuk membantu perokok tegar berhenti daripada tabiat tersebut.

Lebih manis, program terbabit tidak akan mengenakan sebarang bayaran malah boleh disertai sehingga perokok tersebut berhenti secara total.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haliza Khalid berkata, program yang menggunakan kaedah kaunseling itu telah dijalankan sejak Januari lalu.

"Kesemua peserta M-Quit ini terdiri daripada perokok secara sukarela untuk berhenti. Sehingga kini, seramai 10 perokok tegar sudah bebas daripada tabiat tersebut.

"Kita mempunyai tiga kaunselor bertauliah yang diakreditasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membimbing peserta dalam program ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian semasa menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina KPJ Puteri, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Eksekutif KPJ Puteri, Khairun Ahmad.

Haliza berkata, ketiga-tiga kaunselor yang dilantik itu akan membimbing para peserta dalam sekurang-kurangnya lapan bulan atau sehingga pulih daripada ketagihan.

"Kaunseling percuma ini berlangsung pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9.20 pagi hingga 12.30 tengah hari," katanya.

Sementara itu, pada sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan itu, KPJ Puteri sekali lagi meneruskan tradisi tahunan mereka dengan menyediakan kakitangan dan pelanggan mereka dengan jamuan Yee Sang.

Menariknya pada tahun ini, jamuan Yee Sang yang disediakan adalah sepanjang 40 meter yang mana disertai seramai 188 peserta.