Geran keseimbangan kepada 11 PBT

Belanjawan Johor 2019 dibentangkan di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Belanjawan Johor 2019 dibentangkan di Kota Iskandar di sini, hari ini.
A
A
A
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri memperuntukkan RM13.7 juta kepada 11 daripada 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan geran keseimbangan negeri pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, bantuan kewangan itu akan dimanfaatkan oleh PBT.

“Ini untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam yang mencukupi dan selesa kepada rakyat, pengurusan sisa pepejal yang berkesan dengan pemantauan berkala, menyelesaikan aduan-aduan awam serta menjaga kebersihan dan kelestarian bandar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Osman berkata, selain itu, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1.2 juta bagi menaiktaraf pasar awam dan gerai untuk mewujudkan ruang niaga yang lebih teratur, bersih, kemas, santai serta mesra OKU.

“Antara lokasi dinaik taraf adalah pasar awam Kluang, gerai Majlis Daerah Labis, gerai di Jalan Kota Tinggi-Mersing serta gerai di Dataran Segamat,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1.75 juta bagi kerja membina tempat meletak kenderaan berat di lokasi terpilih antaranya PPR Kempas Permai, Jalan Shin Lee dekat Chaah dan Bandar Putra (Segamat), Batu 3 Jalan Jemaluang (Mersing) serta kawasan perindustrian Sri Gading (Batu Pahat).