Muhyiddin gesa Myanmar henti pembunuhan

Muhyiddin hadir pada pertemuan Khas Pemimpin-pemimpin ASEAN berhubung krisis di Myanmar, dipengerusikan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Sekretariat ASEAN, pada Sabtu.
Turut sama, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan).
- Foto: Bernama (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA


Muhyiddin hadir pada pertemuan Khas Pemimpin-pemimpin ASEAN berhubung krisis di Myanmar, dipengerusikan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Sekretariat ASEAN, pada Sabtu.
Turut sama, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan).
- Foto: Bernama (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA


A
A
A

JAKARTA - Dalam menangani krisis di Myanmar, negara itu perlu meredakan ketegangan di jalanan dan menghentikan pembunuhan serta kekejaman terhadap orang awam, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Itu antara tiga cadangan yang diusulkan oleh Malaysia kepada Myanmar pada Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN di sini pada Sabtu.

“Yang kedua, bebaskan tahanan politik pada kadar segera dan tanpa syarat,” kata Muhyiddin ketika intervensi pada mesyuarat itu yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin ASEAN serta ketua junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing.

Yang ketiga katanya, Pengerusi dan Setiausaha Agung ASEAN perlu diberikan akses ke Myanmar termasuk akses kepada semua pihak yang berkenaan.

“Malaysia harap Myanmar akan menimbang secara positif cadangan yang dikemukakan ini,” katanya.

Krisis Myanmar menjadi tumpuan utama pada pertemuan itu selepas junta tentera negara berkenaan menggulingkan kerajaan pimpinan awam pada 1 Februari dan mengisytiharkan perintah darurat selama setahun.

Rampasan kuasa itu mencetuskan bantahan besar-besaran yang kemudian digempur dengan kekerasan menyebabkan ratusan orang terbunuh setakat ini.

Muhyiddin berkata, tidak ada satu pun cadangan yang dibuat itu tidak melibatkan Tatmadaw (pasukan tentera Myanmar) sebagai sebahagian daripada penyelesaian.

Artikel Berkaitan:

“Kami sedar bahawa kejayaan usaha ASEAN dalam isu Myanmar ini amat bergantung pada kesediaan Tatmadaw untuk bekerjasama,” kata beliau.

Malaysia katanya, bersedia untuk terlibat secara konstruktif dengan semua pihak serta menggembleng usaha semua negara anggota ASEAN bagi membantu Myanmar mengatasi krisis politik terkini itu.

“Malaysia harap Myanmar akan terus bekerjasama dengan ASEAN bagi menegakkan prinsipnya,” kata beliau.

Muhyiddin turut mengeluarkan amaran keras agar situasi yang amat buruk di Myanmar itu ditamatkan segera.

“Malaysia berpegang pada pendirian bahawa pembunuhan dan kekejaman itu mesti ditamatkan. Semua pihak digesa agar tidak melakukan sebarang provokasi dan tindakan yang akan memanjangkan lagi keganasan dan ketegangan tersebut,” katanya.

Perdana Menteri turut menggesa diadakan dialog yang inklusif dan bermakna, yang hanya dapat dilakukan melalui pembebasan segera dan tanpa syarat tahanan politik.

“Ini akan menjadi permulaan yang baik selain mengurangkan tekanan antarabangsa ke atas Myanmar dan ASEAN,” katanya.

Menyentuh tentang prinsip ASEAN untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota, Muhyiddin berkata, prinsip itu tidak bermaksud perkumpulan berkenaan harus mengabaikan situasi serius yang mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini.

“Kita tidak boleh bersembunyi di sebalik prinsip tidak campur tangan itu dan ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak mengambil tindakan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, masyarakat antarabangsa menaruh harapan tinggi terhadap ASEAN dalam menangani isu Myanmar.

“Dalam domain ASEAN, keterlibatan konstruktif bergantung pada kepercayaan, persefahaman dan muhibah,” katanya.

Muhyiddin juga mempunyai pesanan khas untuk rakyat Myanmar.

“Rakyat Myanmar adalah rakyat ASEAN, kejayaan Myanmar adalah kejayaan ASEAN. Paling penting, masa depan Myanmar akan membentuk masa depan ASEAN. Tidak dapat disanggah betapa pentingnya Myanmar kepada ASEAN,” katanya. - Bernama