Lelaki ditahan tipu jual emas hasil rampasan

Eng Lai ditemui pemberita ketika hadiri Program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat IPD Sentul di sebuah pusat beli belah di Kepong, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Eng Lai ditemui pemberita ketika hadiri Program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat IPD Sentul di sebuah pusat beli belah di Kepong, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelicikan sindiket tawaran lelongan barang kemas yang didakwa hasil rampasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul terbongkar dengan penahanan tiga lelaki di sekitar Lembah Klang, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, laporan kes terbabit diterima daripada seorang jurujual sebuah syarikat jual beli emas berusia 39 tahun pada 14 April.

Katanya, kejadian pada 1 April itu apabila mangsa dihubungi suspek yang menawarkan urusan jual beli jongkong emas 999 seberat 683 gram dan emas 916 seberat enam kilogram pada harga RM1.4 juta.

"Suspek memaklumkan kepada mangsa kononnya jongkong emas berkenaan adalah barang rampasan kes yang mahu dilupuskan.

"Mangsa yang terpedaya dengan tawaran itu kemudian bertemu dengan suspek di kawasan parkir di luar IPD Sentul sebelum menyerahkan wang tunai secara berperingkat berjumlah RM608,000 sebagai bayaran pendahuluan tanpa melihat barang rampasan berkenaan," katanya ketika ditemui pada Program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat IPD Sentul di sebuah pusat beli belah di Kepong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa menyedari ditipu sindiket berkenaan selepas suspek gagal dihubungi.

Susulan itu, hasil maklumat diperoleh, sepasukan polis IPD Sentul menahan tiga lelaki berusia lingkungan 44 hingga 59 tahun di tiga lokasi berasingan sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.

“Hasil serbuan itu, kami merampas empat telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk berurusan dengan mangsa.

Artikel Berkaitan:

“Semua suspek terbabit direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengulas berkenaan Program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat IPD Sentul, beliau berkata, program setiap bulan di lokasi tumpuan itu bertujuan bagi membolehkan orang ramai menyuarakan masalah berkaitan dadah dan jenayah lain.

“Kami menempatkan pegawai bertugas bagi menjawab pelbagai soalan daripada pelanggan selain pameran berkaitan jenayah.

“Pada masa sama, kami boleh menyampaikan nasihat kepada orang ramai supaya mengambil langkah-langkah wajar bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah,” katanya.