Ahli UMNO Sabah tak tahu didaftar masuk Bersatu?

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Sabah mendakwa ada menerima maklumat bahawa ramai ahlinya didaftar masuk Bersatu tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu berlaku hampir di seluruh bahagian di negeri itu.

“Dakwaan kononnya terdapat 80,000, 100,000 ahli UMNO yang keluar itu saya tidak tahu sebab kebanyakan ahli di peringkat akar umbi masih setia dan percaya dengan perjuangan UMNO.

“Saya dapat maklumat dari bawah bahawa ramai ahli ahli UMNO didaftar memohon menjadi ahli Bersatu tanpa ada persetujuan atau pengetahuan mereka dan ini berlaku hampir di seluruh bahagian,” katanya kepada Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendakwa kira-kira 100,000 bekas ahli di UMNO dari 25 kawasan Parlimen di Sabah bakal menyertai Bersatu selepas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti itu akan melebarkan sayap ke Sabah.

Keputusan itu dibuat meskipun ia mungkin tidak disenangi sekutunya, Warisan. Dalam pada itu Bung mempersoalkan dakwaan itu susulan selepas proses pemutihan dan bancian dijalankan baru-baru ini, jumlah ahli UMNO direkodkan 500,050 orang manakala 38,000 meninggalkan parti termasuk yang meninggal dunia.

Menyentuh soal kestabilan partinya, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menegaskan kedatangan Bersatu ke negeri itu tidak akan menggugat UMNO.

“UMNO Sabah tidak akan tergugat dengan kedatangan Bersatu ke Sabah sebab selepas keluarnya beramai-ramai ketua bahagian, Ahli Parlimen dan ADUN yang mengisytiharkan Bebas, saya selaku Ketua Perhubungan UMNO Sabah telah berjaya menyusun semula UMNO Sabah di semua peringkat.

Artikel Berkaitan:

“UMNO Sabah telah melakukan pembersihan keahlian dan selepas pembersihan kita dapati hanya lebih kurang 10 peratus sahaja daripada 570,000 ahli UMNO yang keluar. Ini bermakna UMNO Sabah masih kukuh dan kuat di semua peringkat,” katanya.

Menurutnya, UMNO Sabah kini mempunyai pemimpin-pemimpin muda yang mempunyai matlamat sama.

“Hari ini kebanyakan pemimpin UMNO Sabah terdiri daripada orang muda yang berjiwa besar dan mempunyai matlamat yang satu iaitu memperkuatkan parti untuk persediaan dalam PRU akan datang.

“Apa yang perlu kami buat adalah merangka beberapa strategi untuk memperkuat parti dan meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sekarang di bawah PH telah banyak menipu rakyat dan tidak menjalankan tanggungjawab selaku pemerintah yang baik seperti janji manifesto mereka,” katanya.