Rakyat berhak pilih, kritik kerajaan: Khaled

 Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar rakyat menyokong kerajaan PH demi memudahkan kerja dan pelaksanaan dasar dibuat.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai semberono dan pukul rata atas beberapa alasan.

"Pertama, rakyat berhak memilih dan mengkritik. Tidak boleh 'double standard' dan memuji keberanian rakyat secara berpilih-pilih mengikut apa yang menyebelahi PH sahaja.

"Jika rakyat bersedia menukar kerajaan, sudah pastilah mereka sangat matang untuk menilai sama ada sesuatu dasar kerajaan itu wajar disokong atau sebaliknya. Mereka punya kebebasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kedua, rakyat mempamerkan rasa tidak puas hati bukan secara suka-suka, tetapi, kekecewaan bersebab dan berasas.

Katanya, beliau yakin rakyat sangat kecewa dan berasa tertipu bukan sahaja dengan ketiadaan dasar dan hala tuju negara yang jelas, tetapi sikap serta pendekatan semasa dilihat tidak mesra rakyat.

"Misalnya, tindakan tidak sensitif dalam mengusulkan ratifikasi ICERD sebelum ini yang menimbulkan kemarahan orang Islam, keputusan untuk tidak meneruskan rayuan dalam kes Pulau Batu Putih, melepaskan aset-aset strategik negara dan Bumiputera.

"Semua ini mengundang persoalan dan kerisauan. Malah, sesetengah dasar negara hari ini adalah mengelirukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ketiga, beliau sangat berharap Mahathir melihat dan menerima dengan terbuka bahawa mentaliti menyalahkan orang lain masih menebal malah semakin teruk di kalangan Kabinet kerajaan.

"Segala-galanya salah orang lain. Sedangkan sangat jelas, selepas sembilan bulan pentadbiran PH, tiada dasar baharu yang benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat secara besar-besaran. Bukan rakyat tidak sabar atau menuntut sesuatu di luar kelaziman dan kewarasan.

"Tetapi, kerajaan hari ini harus sedar, sebelum PRU14 lagi PH telah mencanang bahawa mereka sudah mempunyai formula untuk selesaikan segala masalah negara. Jadi, apa alasannya sekarang? Tidak mungkin kita mahu terus bermain dengan naratif hutang negara yang besar," katanya.

Mohamed Khaled berkata, alasan terakhir adalah seruan menyokong kerajaan tersebut seolah-olah satu tamparan tersirat kepada rakyat.

"Sepertinya rakyatlah punca kenapa segala dasar dan pelan kerajaan hari ini gagal, tertangguh atau terpaksa dibatalkan. Sedangkan, hakikatnya jelas.

"Pelan-pelan dan inisiatif kerajaan hari ini yang tidak realistik, tidak mengambil kira keperluan rakyat dan yang paling penting, tidak disandarkan pada satu hala tuju yang jelas," katanya.

Bekas Menteri Besar Johor dan Menteri Kabinet itu akui memahami kekecewaan Mahathir berikutan hampir semua menteri kerajaan PH yang tidak lekang dengan kontroversi rata-ratanya dari Bersatu.

"Ijazah palsu, tidak tamat belajar, dan pelbagai masalah integriti yang lain. Sudah pastilah perkara ini memalukan beliau. Tetapi, tidak semua perkara harus dipulangkan kepada rakyat.

"Rakyat berhak memilih, berhak mengkritik dan berhak menuntut apa yang mereka rasakan terbaik untuk mereka dan untuk Malaysia. Rakyat tidak lagi akan menyokong secara membuta tuli. Dalam semangat Malaysia baharu, kita percaya pada satu perkara iaitu menurut biar berakal," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Tun M ulangi Pas tak sokong UMNO di Semenyih