SKM saran kerajaan buka peluang koperasi sertai ekuiti GLC

Nordin Salleh
Nordin Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan keterbukaan ruang dan peluang kepada koperasi yang berkaliber dan layak untuk menyertai ekuiti dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh berkata, pulangan hasil daripada langkah tersebut dijangka dapat membantu kerajaan kembali meningkatkan ekonomi negara sekali gus mengatasi masalah penyusutan ekonomi yang sedang dialami ketika ini.

“SKM akan sentiasa membantu dan memberi galakan kepada koperasi yang berkelayakan untuk melabur dalam GLC bahkan menjadikan koperasi juara dan dikenali dalam sektor perniagaan.

“Koperasi perlu kompetitif dalam dunia pelaburan dengan berlandaskan polisi yang tegas dan SKM sentiasa tampil memberikan bantuan serta sokongan untuk membantu koperasi berjaya dalam sektor ekonomi dipelopori.

“Oleh itu, koperasi boleh dan digalakkan untuk mencari jalan melabur dalam badan perniagaan yang bersesuaian dari segi pelaburan terpulang pada pengurusan koperasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Nordin berkata, pelancaran Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021-2025 berupaya menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing.

“TransKom menjamin kelangsungan sektor koperasi negara sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

“Transformasi ini adalah bertepatan dalam menjadi paksi transformasi kepada Gerakan Koperasi di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nordin memaklumkan bahawa SKM telah menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 masing masing kepada lima pertubuhan yang terdiri daripada rumah anak yatim, maahad tahfiz dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Lima penerima itu adalah Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Kuala Selangor, Maahad Tahfiz As- Salihin, Maahad Integrasi Tahfizul Quran An Nasr, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim Rukaiyah dan Lembaga Pentadbiran (M.A.S) Kampung Bharu.