X

Kindly register in order to view this article
!

Anak muda derita buah pinggang kronik gigih puasa penuh

Handzalah yang terlantar sakit kerana masalah komplikasi buah pinggang tahap lima mendapat sokongan ibu bapa untuk berpuasa.
A
A

KOTA BHARU - Menghidap komplikasi buah pinggang tahap lima bukan penghalang Handzalah Zulkarnain, 20, untuk taat menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Anak kedua daripada enam beradik itu tetap menggagahkan diri menjalankan rukun Islam ketiga itu dengan penuh semangat walaupun dia hanya mampu terlantar di atas katil sejak empat tahun lalu.

Menurut Handzalah, Ramadan sentiasa dinantikan walaupun dia hanya menjamah tembikai serta air kosong sahaja pada waktu berbuka dan sahur.

"Saya tiada selera makan, penglihatan semakin kabur dan tulang pun semakin rapuh sehingga sukar untuk berdiri," katanya ketika ditemui di rumah sewa keluarganya di Kampung Tapang pada Sabtu.

Sementara itu, ibunya, Norhazaini Mahmood, 43, berkata, Handzalah dikesan menghidap penyakit tersebut ketika berusia 13 tahun namun semakin serius ketika usianya 17 tahun.

Menurutnya, Handzalah tidak dapat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sangat menyedihkan kerana anaknya itu merupakan seorang pelajar cemerlang di Sekolah Arab Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Norhazaini berkata, lebih menyedihkan apabila melihat anaknya itu terlantar di dalam bilik dan hanya keluar apabila ada temu janji di hospital.

"Kami mahu menyediakan bilik dan katil khas tetapi itu hanya impian sahaja kerana kesempitan hidup. Suami hanya bekerja sebagai tukang besi dan perlu menyara lima lagi anak yang masih bersekolah," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga menyewa di sebuah rumah yang sudah uzur manakala bilik Handzalah juga serba daif.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0300341100011826 atas nama Norhazaini Mahmood.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!